Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada soalan. Kalau dulu seorang ni selalu tinggal solat, sebab dia malas, dan dia lebih gemar habiskan masa dia untuk scroll media sosial, dan kadang layan drama, adakah ianya syirik? Sebab dia lebih utamakan untuk layan konten yang ada artis dia suka dari solat sebab dia rasa malas solat? Sekarang dia cuba untuk berubah dan solat awal waktu serta tidak untuk tinggalkan solat. Namun dalam dirinya tak pernah ada niat untuk menduakan Allah SWT dan dia sedar berdosa tinggalkan solat, cuma sekarang dia risau perbuatannya dulu tu jatuh syirik
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyebut: Syirik adalah menjadikan bagi Allah sekutu yang mana dia berdoa kepadanya sebagai dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya, atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan kepadanya satu jenis daripada jenis-jenis ibadah. Justeru, dalam situasi yang puan bertanya adalah tidak dikira orang tersebut melakukan perbuatan syirik. Selain itu, sikap bermalasan dalam ibadah tidak menjadikan seseorang itu musyrik namun dikira sebagai melakukan maksiat dan berdosa besar. Wajib untuk bertaubat dan mengqadha'kan bilangan solat yang telah ditinggalkan.
Sekian, Terima Kasih