BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. Dahulu saya pernah mendapat bantuan dari jabatan di bawah negeri kerana mendapat keputusan percubaan spm yang bagus. Awalnya, saya sudah malas menerima bantuan tersebut kerana terdapat beberapa prosedur yang saya malas lakukan namun guru saya memaksa juga saya untuk menerima. Lalu, saya manfaatkan duit tersbut untuk kegunaan belajar seperti alat tulis, buku dan sebagainya. Namun baru-baru ini, saya teringat yang saya sebenarnya sudah mendapatkan soalan bocor bagi beberapa kertas dan juga saya sudah tahu tajuk yang bakal keluar dalam peperiksaan. Saya merasa bersalah dan ingin memulangkan semula wang kepada organisasi tersebut dengan cara mengirimkan sampul Surat beserta wang di dalamnya. Soalan saya, adakah cukup dengan bertaubat dan memulangkan wang tersebut sudah memadai untuk menghapuskan dosa saya? Saya khawatir sekiranya saya mengaku dan berterus terang alasan sebenar saya kepada mereka akan membawa lebih kepada kemudaratan. Adakah menjadi kewajipan untuk turut disertakan permohonan maaf atas dosa menipu sebegini? Mohon pencerahan.

2. Bagaimana pula sekiranya, situasi hampir sama, namun bagi pelajar yang sedang mengambil ijazah yang pernah mendapatkan bantuan wang kerana dia meniru dalam banyak subjek semasa mengambil diploma dan mendapat keputusan cemerlang. Dia juga ingin memulangkan wamg tersebut kembali. Adakah cukup bagi kedua-dua situasi ini untuk sekadar memulangkan wang tersebut dan bertaubat.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada situasi dan soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa hukum mendapatkan soalan bocor adalah berdosa kerana dikira sebagai satu penipuan.

Walau bagaimanapun, jika perbuatan tersebut telah pun berlaku, maka pelakunya hendaklah bertaubat dengan sebenar-benarnya serta berazam untuk tidak mengulanginya. Selain itu, disarankan untuk bersedekah dengan wang yang telah digunakan, sebagai tanda penyesalan dan dengan harapan agar Allah SWT mengampunkan dosa yang lalu serta mengurniakan keberkatan dan keredhaan-Nya.

Bagi kesilapan yang telah terjadi, memadai dengan memohon keampunan daripada Allah SWT tanpa perlu menceritakannya kepada orang lain. Jika terdapat kaedah yang teratur untuk memulangkan wang tersebut, maka itu adalah langkah terbaik. Namun, sekiranya tiada cara yang jelas untuk pemulangan, maka cukuplah dengan memperbanyakkan sedekah atau membantu mereka yang memerlukan, dengan niat memohon keampunan serta berazam untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 53

message user image