Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya ingin bertanyakan soalan berkaitan "berjemaah di masjid bersama kanak-kanak yang belum baligh", adakah tidak dapat pahala berjemaah?. Dalam kes saya, saya mempunyai anak yang berumur 4 tahun dan sudah bersekolah. Di sekolah pula ada mengajar tentang solat dan bacaan dalam solat, jadi apabila saya membawa dia ke masjid untuk berjemaah, anak saya akan tekun solat dan mengikut bacaan imam sehingga selesai solat. Selain percakapannya yang matang dia juga tahu serba sedikit tentang persekitaran di masjid seperti tidak boleh berbuat bising/masjid ialah rumah Allah, mengambil wudhu sebelum solat dan juga persediaan untuk solat selepas Azan berkumandang. Adakah anak saya masih dikategorikan sebagai mumayiz dan kami sebagai dewasa tidak dapat pahala berjemaah kerana adanya anak saya bersama kami solat bersama didalam satu saf? Saya berharap tuan/puan sudi menjawab soalan saya kerana saya sangat musykil dan tidak ingin menjadi punca orang lain tidak mendapat pahala disebabkan saya.
Terima kasih.
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu hukum membawa kanak-kanak ke masjid, ia terbahagi kepada dua keadaan iaitu:
1) Jika seseorang kanak-kanak itu sudah mumayyiz dan boleh beradab, maka diharuskan dan sangat digalakkan untuk dibawa ke masjid.
2) Jika seseorang kanak-kanak itu belum mumayyiz dan sukar untuk dikawal tingkah lakunya sebaiknya tidak dibawa ke masjid kecuali jika terdapat keperluan mendesak tertentu maka diharuskan untuk dibawa ke masjid dengan syarat ibu bapa perlu mengawal tingkah laku anak-anak mereka aar tidak mengganggu jemaah lain.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, tidak menjadi masalah sekiranya kanak-kanak yang belum baligh solat berjemaah. Terdapat sebuah hadis di dalam Sahih al-Bukhari yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka. Manakala, terdapat juga pendapat ulama yang menyatakan bahawa saf tidak terputus sekiranya ada kanak-kanak. Oleh yang demikian, pahala solat berjemaah tetap diperolehi oleh semua jemaah.
Adapun begitu, terdapat panduan yang boleh diguna pakai bagi menentukan kedudukan kanak-kanak di dalam saf. Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Shafi'i yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat.
Sekian, terima kasih