BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.. saya baru pulang daripada melakukan umrah. Namun, saya hanya sempat melakukan umrah satu kali kerana keesokan harinya (dan seterusnya) saya datang bulan.. masa tawaf, saya ada terjatuhkan buku panduan umrah saya. Seingat saya, memang saya cuba untuk tidak memalingkan bahu dari arah kaabah, tapi saya was was..bagaimana saya nak bayar dam kerana saya dah pulang ke malaysia dan berapa banyak yang perlu saya bayar?

 

Jazakallah Khair


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara syarat sah tawaf adalah bahu kiri berada setentang dengan kaabah. Maka, jika seseorang bahu kirinya berpaling dari arah tersebut hendaklah dia memulakan semula dari tempat yang telah dia berpaling tadi kemudian meneruskan pusingan tawaf tersebut ataupun jika terdapat kesukaran maka dia boleh menambah satu lagi pusingan tawaf bagi mencukupkan 7 kali pusingan secara yakin. Namun, sesuatu ibadah tertakluk kepada keyakinan, dan sebarang keraguan yang timbul tidak menjejaskan kesahihannya. Di dalam firman Allah S.W.T dalam surah Yunus ayat 36 :

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya : Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan : Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. 

Hal ini juga bertepatan dengan penetapan para ulama dalam masalah was-was/syak sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Justeru, melihat kepada situasi yang dialami oleh puan dalam pelaksanaan ibadah umrah adalah sah kerana puan hanya sekadar ragu-ragu. Selain itu, puan juga tidak perlu membayar apa-apa dam kerana ibadah umrah puan telah dikira sah di sisi hukum syarak.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 44

message user image