BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, baru2 ini ada isu tentang KK mart yang menjual sandwich ham and cheese dan pihak jakim telah mengesahkan bahawa logo halal pada sandwich itu ialah logo halal yang palsu. Tetapi pihak jakim tidak menjelaskan pula sama ada sandwich itu betul2 menggunakan daging khinzir ataupun tidak. Bermakna, sandwich tersebut tak pernah diperiksa dan diterima oleh pihak jakim. Kawan saya pernah makan sandwich tersebut pada beberapa bulan lepas dan saya pernah bersalaman dengan kawan saya seperti bersalaman semasa tangan kering mahupun tangan basah seperti selepas berwuduk. Adakah saya perlu sertu tangan saya kerana pihak jakim sudah sahkan bahawa sandwich itu logo halalnya palsu tapi tidak diketahui pula sama ada sandwich itu betul2 menggunakan daging khinzir ataupun tidak. Terima kasih atas penerangan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan,

Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.

Merujuk kepada persoalan tuan, walaupun pihak JAKIM mengesahkan logo halal itu palsu, tetapi tidak memberikan bukti bahawa sandwich tersebut mengandungi daging babi. Oleh itu, kita tidak boleh terus menganggap ianya diperbuat daripada daging babi tanpa kepastian.  Sehubungan itu, tuan tidak perlu sertu tangan yang telah bersalaman dengan kawan tersebut kerana ianya kekal suci.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image