Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya. Saya dan suami membawa anak-anak saya pergi bermain di taman permainan pada waktu pagi. Pada ketika itu terdapat sedikit takungan air di hujung gelongsor tersebut. Suami saya mengambil kain dan mengelap air tersebut supaya baju anak tidak kotor dan basah ketika bermain gelongsor. Ketika bermain anak saya terjatuh di atas lantai taman permainan tersebut dan pada ketika itu juga saya dan suami baru perasan terdapat banyak kesan tanah tapak kaki haiwan seperti tapak kaki anjing yang melekat di lantai taman permainan tersebut yang telah kering. Walaupun kami tidak nampak kesan tapak kaki tersebut daripada haiwan anjing tapi kami berpendapat mungkin daripada anjing sebab kawasan perumahan. Dan mengenai kain yang digunakan untuk mengelap takungan air digelongsor itu pada mulanya kami menganggap mungkin air embun pagi yang belum kering tetapi apabila terlihat tapak kaki haiwan saya terus berasa was2 dan terlintas di fikiran saya adakah kemungkinan air yang suami saya lap tu mungkin najis kencing anjing walaupun saya dan suami tidak melihat anjing yang kencing. Silap saya kerana tidak bau kain tersebut. Tidak dapat dipastikan samada air tersebut ialah najis atau sekadar air biasa. Soalan saya:
1. Adakah saya perlu menyertu tangan, kaki dan baju anak saya yang terjatuh dilantai tersebut?
2. Adakah saya perlu menyertu kain tersebut?
3. Saya dan suami telah memegang kain tersebut dan kami hanya bilas tangan dengan air biasa dahulu sebelum pulang tanpa menyertu. Adakah setiap permukaan yang telah disentuh kami akan menjadi najis?
4. Jika kain yang digunakan telah dibasuh menggunakan mesin basuh tanpa menyertu adakah saya perlu menyertu mesin basuh tersebut? Jika saya tidak menyertu mesin basuh tersebut lalu saya terus menggunakan mesin basuh tersebut untuk menyuci pakaian lain..adakah pakaian lain akan turut bernajis?
Saya masih berasa was-was dan memohon pencerahan daripada pihak tuan. Terima kasih
Jawapan
Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Merujuk kepada persoalan puan,
1) Tidak perlu sertu tangan, kaki dan baju anak yang terjatuh dilantai tersebut.
2) Tidak perlu sertu kain tersebut kerana tidak dapat diyakini terdapatnya najis pada kain tersebut, maka ia kekal suci.
3) Tidak menjadi najis setiap permukaan yang telah disentuh kerana kain tersebut tidak bernajis.
4) Mesin basuh dan pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh tersebut tidak perlu di sertu kerana kain yang digunakan tersebut adalah kekal bersih daripada najis Mughallazah.
Sekian, terima kasih.