Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya. Sekiranya kita mengesyaki kasut yang dipakai sebagai contoh di ousat bowling diperbuat daripada babi, namun setelah cuba untuk mencari bahan yang digunakan tetapi tidak terdapat dalam website, dan yang paling terdekat ditulis menggunakan 'genuine leather' tanpa memberi spesifikasi jenis kulit, adakah saya perlu mencuci seperti najis mughallazah?
Dan sekiranya perlu, adakah saya perlu membasuh stokin yang digunakan sekiranya stokin itu basah?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was berkaitan kasut tersebut diperbuat daripada babi, maka kasut tersebut adalah kekal bersih dan suci. Sehubungan itu ia tidak perlu disertu serta tidak menajiskan stokin yang dipakai semasa memakai kasut tersebut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.