Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada pertanyaan berkaitan bab najis. Pada masa yang lepas, saya pernah berjumpa dengan kawan non-Muslim saya. Ketika itu, dia tengah makan sandwic yang mengandungi daging khinzir. Saya telah terpegang tangan dia dalam keadaan terlupa yang dia tengah makan sandwic tidak halal itu. Selepas itu barulah saya teringat tetapi saya sekarang dah tidak pasti jika tangan saya ketika itu basah atau tidak dan jika najis itu telah berpindah ke anggota badan yang lain. Adakah saya hanya perlu melakukan sertu ke atas tangan saya sahaja atau bagaimana? Mohon pertolongan atas persoalan saya ini
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was berkaitan tangan tersebut, maka ianya kekal bersih dan suci.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.