BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Aslmualaikum saya nak tanya tentang solat jamak dan qasar. Ad beberapa persoalan.

Situasi umum: 

Ada dua tempat tinggal:

1. Kampar, perak ( tempat berkerja/bilik sewa)
2. Melaka (rumah family ibu ayah isteri dan anak-anak)

Situasi nya ada lah pada setiap minggu saya akan ulang alik dari kedua-dua tempat ini.

Persoalan:
1. Kalau saya balik hari jumaat bas pukul 4.30pm (tidak sempat solat asar) boleh atau tidak saya menjamakkan solat saya (jumaat dengn asar sekali) walaupun saya belum mula keluar rumah lagi. Kerana selalunya bas tidak akan berhenti untuk solat. Kalau berhenti pun hanya untuk pergi ke tandas iaitu kurang daripada10 minit. Kalau smpai ke destinasi confirm waktu asar akan habis.

2. Saya selalu balik rumah family di melaka (rumah keluarga) iaitu pada jumaat sabtu ahad. (Jumaat pergi melaka dan ahad balik kampar) boleh atau tidak sepanjang saya ada kt rumah family saya qasar solat saya?

3. Saya hendak balik dari melaka ke kampar semula. Bas saya pukul 3 ptg ..saya masih dekat rumah family saya dan sudah masuk waktu zuhur. boleh atau tidak saya jamak zuhur dengan asar walaupun saya tidak keluar rumah lagi? Kerana kalau saya tidak jamak kemungkinan bas tidak akan berhenti dan terlepas waktu solat. 

4. Bas pukul 3 ptg..sekarang pukul 2 ...waktu zuhur sudah masuk ..saya tangguh solat waktu zuhur sebab saya nak jamak qasar dekat melaka sentral (stesen bas luar daripada mukim)..boleh atau tidak?

5. Saya bergerak dari TBS (6.30pm) ke kampar,perak (10.30pm), boleh atau tidak saya jamak solat magrib dan isyak apabila saya sampai di rumah sewa? jika tidak boleh, di mana saya perlu jamakkn solat saya ? Stesen bas kampar juga di dalam mukim rumah sewa saya. Saya selalu menjamakkan solat magrib dan isyak apabila telah sampai di rumah sewa saya. Atau adakah saya perlu qada' solat magrib dan solat isyak seperti biasa?

Minta pencerahan untuk keempat2 pandangan mazhab yang tidak membuatkan sy sukar untuk menunaikan solat dalam situasi ini


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, solat qasar perlu dilakukan dalam keadaan musafir. Manakala solat jamak boleh dilakukan untuk sebab-sebab selain musafir. Selain itu, syarat dibolehkan untuk melakukan qasar juga telah keluar bermusafir dan bukan berada di kawasan mukim dan mastautin. Oleh itu, seseorang tidak boleh melakukan jamak dan qasar ketika berada di kawasan tempat tinggalnya.

Situasi 1: Dalam situasi masyaqqah seperti ini, pilihan pertama adalah tuan hendaklah mengerjakan solat Jumaat di masjid yang berada di luar mukim dan tidak pulang ke rumah setelah itu. Ini bagi membolehkan tuan berada dalam keadaan bermusafir yang mengharuskan jamak dan qasar. Kedua, sekiranya pilihan pertama tidak dapat dilakukan, tuan boleh melakukan solat Jamak secara tamam (tanpa qasar) secara taqdim jika diyakini solat Asar akan luput jika telah naik bas dengan bertaklid kepada pandangan ulama yang membenarkan solat jamak dalam keadaan selain musafir berdasarkan umum hadis daripada Ibn Abbas RA:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menunaikan solat zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya. (Riwayat Muslim)

Namun begitu, perkara ini tidak boleh dijadikan rutin dan hanya dikhususkan untuk situasi seperti diatas sahaja.

Situasi 2: Rumah di Melaka (mastautin) yang tuan duduk adalah dikira sebagai tempat menetap tuan iaitu kawasan mastautin. Justeru, sekiranya tuan telah masuk di kawasan tersebut maka tuan tidak lagi layak melakukan solat secara jamak dan qasar.

Situasi 3: Tuan boleh melaksanakan solat jamak dan qasar di luar tempat mastautin tuan seperti di stesen bas dan sebagainya. Tetapi solat jamak dan qasar kerana musafir tidak boleh dilakukan di rumah sebagaimana yang telah dijelaskan.

Situasi 4: Tuan boleh melaksanakan solat jamak dan qasar setelah sampai di Melaka Sentral kerana telah keluar dari tempat tinggal tuan. 

Situasi 5: Rumah sewa di Kampar, Perak merupakan tempat tinggal tuan yang dikira sebagai mukim. Memandangkan stesen bas tersebut berada dalam kawasan mukim tuan, maka tuan boleh melakukan solat secara jamak sahaja ketika sampai di rumah sewa tuan tanpa mengqasarkan kerana syarat qasar perlu dalam keadaan musafir.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 52

message user image