Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya.
Suami saya tidak pernah lalai dari segi nafkah dan keperluan pada saya dan anak-anak. Tetapi apabila die sudah berhenti kerja dan wang simpanan semakin berkurang, suami kerap merungut hal anak2 dan saya yang dikatakan tidak menghargai pengorbanannya selama ini. Ini tidak benar kerana saya redha bila mana die tidak bekerja dan pendapatan berkurang duit belanja pun berkurangan kerana saya memahami keadaannya. Saya juga hairan kerana die tidak mahu mencari pekerjaan lain sebaliknya duit simpanan banyak habis pada perniagaan yang kurang berhasil. Sehingga kini suami masih tak bekerja sebaliknya saya membantu die menguruskan perniagaan bersama anak saya tanpa gaji kerana keuntungan yang tidak mencukupi. Tetapi saya redha kerana saya rasa itu saja yang dapat saya buat untuk membantu suami. Suami kerap menyebut die sudah penat bekerja dah tiba masa saya dan anak pulak yang mengambil tanggungjawab mencari rezeki supaya kami tau betapa susahnya mencari pendapatan untuk membayar bermacam2 komitmen. Saya sedih kerana suami mengatakan bahawa saya tidak bijak, degil dan sombong kepada dia walhal saya cuba melakukan yang terbaik untuk suami. Walaupun saya sebenanya sudah terlalu lelah kerana menggalas 2 tanggungjawab iaitu mengurus perniagaan dan hal ehwal rumah. Pulang dari kerja saya tetap melakukan kerja rumah seperti membasuh baju dan mengemas rumah. Suami hanye mengambil alih menjaga anak oku yang perlu dimandikan dan diberi makan. Kerap jugak suami mengatakan jika keadaan tak berubah die akan meninggalkan saja kami agar kami tau susahnya mencari rezeki. Saya tak faham sebab keputusan berhenti kerja adalah keputusan die sendiri yang mana saya sendiri sebenarnya tidak berapa setuju tapi saya ikutkan saja sebab saya fikir mungkin dia ada rancangan yang lebih baik. Dari mula berkahwin saya adalah seorang surirumah sepenuh masa. Adakah saya bersalah kerana sekarang ketika die susah saya tidak berbuat apa2 untuk membantu dia mengurangkan bebanan. Tambahan die selalu menyebut sangat menyesal kerana telah memberi dan menyediakan macam2 untuk saya dan anak2 dahulu. Hanya kerana hubungan dan komunikasi yang tidak berapa baik antara dia dan anak2. Saya percaya saya dan anak2 walaupun sering dimarahi tetapi kami tetap menyanjung pengorbanan yang telah die lakukan. Kerana itu kami masih bersabar menghadap kerenah suami tiap kali die merungut kerana kami aebenarnya amat kesiankan dia dan masih sayangkan dia. Cuma saya sedih kerana suami seolah tidak redha atas apa yang telah diberi sebelum ini. Saya bertambah ralat kerana suami banyak membantu kawan2 dengan meminjamkan wang namun tak pernah mengungkit malah awal2 sudah redha sekiranya kawan2 tidak dapat membayar walaupun ketika itu dia sendiri dalam keadaan yang susah.
Maaf terlalu panjang. Mohon pencerahan.
Terima kasih. Wasalam.
Jawapan
Antara kewajipan seorang suami kepada isteri dan anak-anaknya adalah menyediakan nafkah asas seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan nilainya secara khusus. Suami tidak wajar untuk menyalahkan samada isteri atau anak-anak sekiranya dia sudah tidak mampu untuk bekerja bagi menyediakan nafkah kepada ahli keluarganya. Ini kerana memang telah menjadi kewajipan suami untuk menyediakan nafkah kepada keluarganya dengan sedaya upayanya dan dipastikan dengan cara yang halal dan baik.
Dalam merungkai pertanyaan puan, berbincanglah atau bermesyuaratlah dengan cara yang baik antara puan dan suami, agar ada kata sepakat dan rumusan secara bersama dapat diambil serta dapat merumuskan apakah tindakan yang boleh dilakukan secara bersama agar dapat meringankan beban memenuhi tuntutan dan keperluan nafkah keluarga.
Sekiranya berbincang bersama juga menemui jalan buntu, puan bolehlah merujuk ke mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran bagi mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat dari mereka sebagai pihak yang berautoriti dan berbidangkuasa bagi menjadi orang tengah dalam menjalankan sesi khidmat nasihat serta bersifat tidak bias kepada mana-mana pihak.
Sekian, terima kasih.