BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Apa hukum jika saya sebagai penjawat awam buat loan komputer yang berjumlah rm5000 tetapi tidak membeli komputer yang bernilai sedemikian. Saya membeli komputer dengan loan komputer tersebut cuma harga komputer tersebut tidak berharga sehingga rm5000 dan duit lebih dari loan tersebut saya menggunakan untuk kegunaan lain. Untuk makluman loan komputer memang berjumlah sebanyak itu kerana sistem bayaran potongan gaji mengikut jumlah bulanan yang akan dipotong setiap bulan selama 48 bulan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan,

Pinjaman komputer yang diberikan oleh kerajaan atau majikan biasanya mempunyai tujuan khusus, iaitu untuk pembelian komputer. Oleh itu, ia bukan sekadar pinjaman biasa tetapi ada syarat dan maksud tertentu. Jika dalam perjanjian atau garis panduan pinjaman dinyatakan bahawa wang itu hanya boleh digunakan untuk membeli komputer, maka menggunakan lebihan tersebut untuk kegunaan lain boleh dikira sebagai tidak menepati akad dan menyalahi tujuan asal pinjaman.

Jika sistem pinjaman menetapkan jumlah tetap (sebagai contoh, RM5000) tanpa melihat harga sebenar komputer yang dibeli, maka secara teknikalnya wang itu telah menjadi hak peminjam setelah ia diperoleh. Dalam hal ini, lebihan wang boleh digunakan untuk perkara lain jika tiada syarat yang menghalang.

Namun, jika ada peraturan yang menetapkan peminjam perlu membelanjakan sepenuhnya untuk komputer dan mengemukakan bukti pembelian setara dengan jumlah pinjaman, maka lebihan itu sepatutnya dikembalikan atau diselaraskan dengan ketetapan yang sah. 

Secara umumnya, tiada masalah untuk membeli dengan harga yang tidak sama dengan jumlah loan yang diluluskan kerana kaedahnya bukan menggunakan kaedah beli dahulu menggunakan duit sendiri dan buat tuntutan dari majikan (cash and claim) yang boleh menjurus kepada false claim dan ia adalah jenayah. Pokok utamanya adalah penyelesaian hutang yang diberikan oleh institusi kewangan atau majikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:

الْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tirmizi)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 51

message user image