Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti,
Saya ada kemusykilan tentang hukum jika termakan daging babi.
Saya pernah tidak sengaja termakan daging babi sebanyak 2 kali, dan kedua2 nya sudah bertahun2 berlalu
1. Pada tahun 2016, iaitu 9 tahun yang lalu, saya pernah makan di sebuah kedai roti di jepun. Tetapi setelah beberapa tahun berlalu, saya baru mengetahui bahawa roti tersebut mengandungi gelatin.
2. Pada tahun 2014, iaitu 11 tahun yang lalu, saya pernah membeli mi segera korea di pasaraya berdekatan rumah saya. Mi segera itu mempunyai versi halal dan tidak halal. Kebiasaannya ketika saya membeli mi segera di pasaraya tersebut, saya hanya melihat versi halal sahaja. Jadi saya menyangka pasaraya tersebut hanya menjual versi halal sahaja. Pada suatu hari di tahun 2014, saya membeli satu paket mi segera tersebut. Di rumah, saya pun memasak mi segera tersebut. Akan tetapi semasa menunggu mi segera tersebut masak, saya baru menyedari bahawa tiada logo halal di bungkusan tersebut. Pada masa itu saya berasa was was. Akan tetapi, apabila saya cuba membaca deskripsi pada paket tersebut, ia menyatakan bahawa mi segera itu berperisa cendawan dan mengikut apa yang saya baca pada ketika itu, saya tidak melihat apa-apa kandungan yang menyatakan terdapat apa-apa jenis daging. Lalu saya makan sahaja mi segera tersebut walaupun ada sedikit perasaan waswas. Pada minggu lepas, saya kebetulan melihat video mualaf korea menyatakan bahawa mi segera itu sebenarnya mengandungi stok daging babi dan lembu. Setelah 11 tahun baru saya mengetahui bahawa mi segera itu benar-benar tidak halal.
Saya pernah mendengar bahawa jika makan daging babi, perlu sertu mulut dengan berkumur-kumur air tanah. Akan tetapi 2 situasi yang saya termakan itu adalah babi yang tiada jirim (tiada fizikal babi). Dan saya tidak pernah menyertu mulut atau apa-apa anggota badan saya.
Oleh itu,
1. Apakah status saya? Adakah saya berada dalam keadaan bernajis hukmi berat selama 11 tahun ini?
2. Bagaimana dengan barangan yang pernah menyentuh bibir dan mulut saya selama 11 tahun ini? Seperti pelembap bibir (lipbalm), gincu, alat solek, gelas dan cawan yang diminum, sudu, garfu dan lain-lain. Adakah semua sudah dikira berpindahnya najis hukmi babi?
Sekarang saya berasa was-was dengan barangan yang menyentuh saya. Sehingga saya rasa mahu sertu semua benda. Saya juga berasa hendak membuang semua alat solek saya dan barang2 yang pernah menyentuh bibir saya kerana berasa kotor. Tersentuh sedikit pun saya dah overthinking. Tetapi saya tidak mahu membuat pembaziran kerana kesemua barangan tersebut dalam keadaan baik dan baharu.
Mohon pencerahan daripada tuan mufti. Saya mempunyai was was yang sangat teruk.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Perlu diketahui bahawa makan daging babi atau makanan yang mengandungi unsur tersebut tidak menjadikan seseorang itu berada dalam keadaan bernajis dan tiada keperluan melakukan sertu secara berkumur-kumur dengan air tanah. Perbuatan memakan makanan yang tidak diketahui bahannya setelah berusaha mendapatkan yang benar-benar dijamin halal adalah dimaafkan.
2. Tiada keperluan untuk menyertu kesemua barangan tersebut dan tiada sebarang najis yang berpindah. Setelah mengetahui akan hukum ini, adalah menjadi kewajipan untuk tidak melayan perasaan was-was tersebut dan hendaklah sentiasa beristighfar serta memohon keampunan daripada Allah SWT agar terhindar daripada perasaan was-was yang mana perasaan tersebut merupakan salah satu daripada mainan syaitan.
Umat Islam sebaiknya perlu memastikan sumber makanan yang dimakan adalah halal lagi baik. Makanan segera atau ringan seperti yang telah disebutkan adalah memadai dengan sekadar menyemak status halalnya. Jika tidak mendapati statusnya, adalah lebih baik ditinggalkan dan berusaha mendapatkan alternatif lain yang terjamin halal dan bersih.
Sekian, terima kasih.