BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Asalamualaikum Tuan,saya mempunyai masalah dalam bab najis.Ketika seekor anjing telah tertidur di hadapan pintu rumah saya lalu anjing tersebut telah meninggalkan bekas kotoran yg berbau busuk.Selepas itu,saya membersihkan tempat tersebut dgn cara menyertu,kemudian saya mop tempat tersebut selepas saya telah menyertunya.Namun begitu saya masih was was kerana mop yg digunakan mungkin terkena najis disebabkan cara penyucian yg kurang sempurna diawal dan mop tersebut telah saya gunakan untuk membersihkan lantai rumah saya.persoalannya apakah lantai rumah saya dikira najis hukmi?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, setelah proses membersihkan tempat yang terdapat ain najis anjing dengan cara menyertunya, maka kawasan tersebut telah bersih dan suci. Oleh itu, mop yang digunakan untuk mengeringkan lantai tersebut adalah kekal bersih dan suci.

Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan. 

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image