Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM W.B.T TUAN ,
Saya hendak bertanya tentang membuat account banyak untuk mendapatkan voucher di aplikasi shopee tetapi menggunakan no telefon ayah saya dan ada membeli 2/3 barang untuk nya juga di situ apakah hukum nya haram atau tidak semoga pertanyaan saya ini jelas terima kasih
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.
Dalam Islam, setiap tindakan hendaklah dilakukan dengan izin dan kerelaan pemiliknya. Jika kita menggunakan nombor telepon milik ayah untuk membuat akaun tanpa izinnya, perkara ini dianggap sebagai tindakan yang tidak amanah dan dilarang. Namun, jika ayah kita memberikan keizinan secara jelas, maka hal ini adalah diharuskan..
Namun, perkara yang lebih utama dalam persoalan ini ialah adakah perbuatan membuka banyak akaun untuk mendapatkan baucar melanggar syarat yang ditetapkan oleh Shopee? Jika Shopee dengan jelas hanya membenarkan satu akaun bagi setiap individu atau nombor telefon untuk menebus baucar, maka tindakan membuat banyak akaun termasuk dalam perbuatan penipuan (tadlis), yang ditegah dalam Islam.
Namun, sekiranya Shopee tidak menetapkan sebarang larangan terhadap perbuatan mewujudkan banyak akaun atau tiada sekatan yang jelas mengenai penggunaan baucar bagi akaun berbeza, maka tindakan ini tidak menjadi masalah dan tidak dianggap haram.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih