Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustz, Saya nak tanya pasal Ibu saya telah kembali ke rohmatullah, Ibu telah telantar sakit selama seminggu dan tak dapat menunaikan solat, Soalan saya perlukah saya sebagai anaknya menkodhokkan solatnya selama ibu sakit hingga menhembuskan nafas terakhir?
Ada tak dalil utk mengkodohkkan solat yg tertinggal itu?
Dan ada tak jugak dalil klu tak perlu kodhok solat simati?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, solat fardu merupakan tanggungjawab individu itu sendiri (ibadah badaniyyah) yang menjadi tiang agamanya. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : Seseorang tidak boleh solat untuk menggantikan solat orang lain, dan tidak pula puasa untuk menggantikan puasa orang lain. (Riwayat an-Nasaie)
Qada’ solat hanya dilakukan orang yang masih hidup itu sendiri. Bagi sesiapa yang meninggalkan solat tanpa sengaja seperti terlupa atau tertidur, begitu juga dengan solat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka wajib qada’. Apabila terjaga dari tidur atau teringat, hendaklah seseorang itu segera qada’ solatnya sebelum meninggal dunia, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : Sesiapa yang terlupa sembahyang, hendaklah ia menunaikannya apabila teringat. Tidak ada kaffarah selain daripada itu. (Riwayat al-Bukhari)
Jumhur fuqaha’ Syafi’iyah menyatakan bahawa solat yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, tidak boleh diqada’ oleh orang lain sama ada oleh anak dan sesiapa saja dan tidak perlu dibayarkan fidyah ke atasnya. Ini bermakna solat si mati yang luput tidak boleh diganti oleh orang lain atau dibayar fidyah. Sebagai anak sentiasalah doakanlah keampunan buat ibu yang telah meninggal dunia, perbanyakkan bersedekah atas namanya atau melaksanakan amalan-amalan soleh dan diniatkan pahalanya untuk ibu.
Sekian, terima kasih.