BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum saya ingin bertanya mengenai pekerjaan sebagai pegawai kutipan akaun tertunggak adakah benar kerja berkaitan hutang mewarisi kepapaan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, adalah tidak benar sama sekali dakwaan yang menyatakan bekerja sebagai pegawai kutipan akaun atau hutang tertunggak akan menyebabkan kepapaan, kerana terdapat hadis yang menunjukkan para Sahabat juga ada mengutip hutang dan Nabi SAW membenarkannya. Hadis yang diriwayatkan daripada Ka‘ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِي حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِي الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَهْوَ فِي بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: ‏يَا كَعْبُ‏‏.‏ قَالَ: لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا‏‏.‏ وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَيِ الشَّطْرَ. قَالَ: لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ قَالَ: ‏قُمْ فَاقْضِهِ‏‏

Maksudnya: Suatu ketika Ka'ab menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya ketika di dalam masjid. Suara mereka riuh kuat sehingga didengari oleh Rasulullah SAW yang berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka sehingga terselak langsir bilik Baginda SAW. Lalu Baginda SAW memanggil: Wahai Ka‘ab. Lalu Ka‘ab menjawab: Ya, aku datang wahai Rasulullah. Lalu Baginda SAW bersabda: Kurangkan hutangmu itu. Ka‘ab membalas: Baik wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya. (Riwayat al-Bukhari)

Rezeki datang dari Allah SWT, dan apa jua pekerjaan yang dilakukan dengan cara yang halal serta niat yang baik akan diberkati. Firman Allah dalam surah Hud ayat 6:

۞ وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّۭ فِى كِتَـٰبٍۢ مُّبِينٍۢ

Maksudnya: Dan tidak ada suatu makhluk pun yang bergerak di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya.

Selagi pekerjaan yang dilakukan adalah halal, dilakukan dengan cara yang jujur, dan tidak melanggar syarak, ia tidak akan "mewarisi kepapaan". Namun, keberkatan rezeki juga bergantung kepada bagaimana pekerjaan itu dilaksanakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 44

message user image