Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t
Sebelum ini sy suri rumah yg mengurus anak dan berniaga makanan secara kecil-kecilan di rumah.Namun setelah suami saya berhenti kerja , kqmi sekeluarga 4 org anak telah berpindah ke rumah mertua. Suami sy disuruh untuk sambung belajar selama 9 bulan. Suami saya tidak menolak apa yang disuruh. Saya terasa agak kecewa, dia tak sanggup kecewakan mak ayahnya, tapi sanggup kecewakan harapan kami. Sementara itu, saya dan suami ditugaskan untuk bekerja di kedai mertua. Untuk sementara itu, mertua saya menanggung komitmen asas suami saya. Namun saya tiada gaji yang diberi dan tidak jelas. Saya harus membeli beberapa brg keperluan sy dan anak2 juga. Di sini, saya berasa amat letih dan penat. Saya tiada punca pendapatan dari hasil penat lelah saya. Soalan saya, apakah tindakan mertua dan suami saya ini wajar dan adil. Apakah saya tidak seharusnya mempertikai masalah ini. Adakah dengan mertua membayar komitmen dan tempat tinggal saya tiada berhak mengambil gaji. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa di dalam sesebuah rumahtangga, suami wajib memainkan peranan untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Dalam erti kata lain, menjadi tanggungjawab suami untuk menyediakan keperluan asas kepada keluarganya. Keutamaan bekerja untuk menyara keluarga adalah lebih utama berbanding menyambung pengajian sehingga mengabaikan kewajipannya menafkahi keluarga malah menyebabkan ibu mentua terpaksa membantu menanggung komitmen asas. Oleh itu, bagi menangani permasalahan ini, sebaiknya pasangan suami isteri perlulah berbincang dan merancang ekonomi keluarga dengan lebih mendalam dan berhikmah mengambilkira jangka masa panjang demi kebahagiaan bersama.
Manakala, mengenai gaji bekerja yang tidak dibayar tersebut ia dilihat tidak wajar kerana ia merupakan hak pekerja yang telah mencurahkan keringat. Justeru, perkara ini juga perlu dibawa berbincang agar masing-masing mencapai kata sepakat dan tiada pihak yang berasa dianiaya. Pada dasarnya, tugas membayar komitmen keluarga bukanlah tanggungjawab mentua, maka berbalik kepada penjelasan yang telah dikemukakan di atas, suami perlu mengambil langkah memperbetulkan semula keadaan dan menjalankan amanahnya sebaik mungkin.