BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ibu saya mempunyai 6 orang adik beradik. Ibu seorang sahaja perempuan daripada 5 lelaki. Ibu saya anak kedua. Kami berasal dari negeri sembilan. Adik beradik ibu (yang lelaki) semuanya mendapat pendidikan dan melanjutkan pelajaran selepas spm. Manakala ibu hanya sempat belajar sehingga tahun 6 sahaja kerana diminta berhenti sekolah untuk menjaga adik-adiknya sementara nenek dan atuk keluar bekerja. Ketika itu kehidupan nenek sekeluarga sangat susah. 

 

     Setelah ibu berkahwin dan mendapat anak seramai 7 orang. Seorang perempuan dan 6 lelaki. Saya merupakan anak perempuan tersebut. 

    Dijadikan cerita, ayah saya ingin membina rumah untuk kami sekeluarga. Ketika itu atuk dabn nenek masih hidup. Ayah bercadang ingin membina rumah ditanah kepunyaan ayah. Tetapi nenek membantah dan meminta ayah  membina rumah di tanah nama nenek kerana tanah tersebut akan diberikan kepada ibu saya dan dapat juga nenek dan atuk merasa tinggal di rumah baharu.

 

   Ayah dan ibu bersetuju dan sebelum rumah dibina, tanah tersebut ditukar kepada nama ibu. Ketika itu nenek masih sihat dan sebelum rumah baharu dibina, proses membuka kayu² rumah lama dilakukan sendiri oleh atuk, nenek, saya sekeluarga dan adik beradik ibu juga ada kalanya datang membantu. Adik beradik ibu duduk di rumah masing- masing kerana telah berkahwin. Ibu tinggal di rumah nenek kerana menjaga nenek dan atuk.

 

       Kini,  30 tahun telah berlalu setelah tukar nama tanah dan rumah dibina. Nenek, atuk dan ibu saya juga telah meninggal dunia. Isunya bermula.

     Saya maklumkan kepada bapa saudara akan melakukan proses menukar nama daripada arwah ibu kepada kami adik beradik sebagai tanda hormatkan mereka sebagai bapa saudara kami.

     Atas perbincangan ayah dan adik beradik, mereka sepakat untuk menukar nama tanah tersebut kepada nama saya. Supaya tanah tersebit boleh menjadi rumah pusaka dan kami adik beradik akan sama-sama menjaga runah teraebut dan berkumpul di rumah pusaka ini.

   Timbul isu oleh bapa saudara kami, iaitu adik beradik ibu. Mereka mengatakan bahawa pemberian tanah tersebut tidak sah kerana menjadikan alasan ayah saya ingin membina rumah di tanah tersebut dan memerlukan nama tanah tersebut ditukar kepada ibu saya. Ini disebabkan ayah membuat pinjaman kerajaan. Selama tempoh pembayaran, tanah tersebut dicagar kepada nama ayah. Sekarang telah selesai pembayarannnya.

 

      Bapa saudara menuntut tanah tersebut daripada saya. Ataupun memberikan mereka wang mengikut nilai tanah tersebut. Alasan mereka lagi semasa pertukaran nama tanah tersebut, nenek tidak memaklumkan kepada anak-anak yang lain.

 

   Apa pendapat ustaz tentang isu ini. Persoalan saya dan adik beradik;

1.  Tanah tersbut diberikan kepada ibu ketika nenek masih hidup. Nenek yang meminta ayah membina rumah di tanah tersebut kerana katanya tanah itu akan menjadi milik ibu juga nanti.

 

2. Kenapa semua bapa saudara kami tidak seleseaikn isu ini ketika nenek masih hiidup. Ataupun semasa ibu kami masih hidup. Rumah siap dibina tahun 1992. Nenek meninggal dunia tahun 1996. Ibu meninggal dunia tahun 2012.

 

3. Saya ada bertanya kepada mereka mengapa tidak bertanya kepada nenek dan ibu. Alasan mereka nenek saya garang. Mereka takut. Ibu saya pula seorang yang sensetif, dan mudah menangis. Bagi saya sebenarnya mereka terhutang budi dengan pengorbanan ibu membesarkan adik-adik. Ayah saya juga ada menanggung pembelajaran bapa saudara.

4. Adakah  mereka boleh mempersoalkan hak mereka kepada generasi ketiga. Yakni menuntut hak kepada saya.  

4. Adakah sah pemberian tanah tersebut kepada ibu saya iaitu hibah semasa nenek masih hidup. 

5. Adakah sah tanah tersebut atas nama saya

 

6.  Saya menjadi gusar kerana bapa saudara mengugut tidak halalkan sekiranya tanah itu ada hak mereka. Atau sesuatu yang buruk akan berlaku kepada saya dan anak-anak sekiranya ada hak mereka atas tanah tersebut.

 

 

Terima kasih ustaz.

 

 

    

 

     


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, 

1. Tanah itu adalah milik sah ibu anda melalui hibah. Hal ini kerana tanah telah dipindahkan kepada nama ibu sebelum rumah dibina, iaitu semasa nenek masih hidup. Berdasarkan syarak, tanah tersebut adalah hibah dan hukumnya adalah sah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 4:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwin (harta) mereka maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Pemberi hibah (nenek) juga tidak memerlukan persetujuan orang lain untuk menghibahkannya. Ini kerana syarat pemberi dan penerima hibah tidak memerlukan kepadanya.

2. Bapa saudara tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut kerana hak hibah tidak boleh dituntut semula setelah tanah diserahkan dan dipindah milik dengan sah. Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 فإنَّ العائدَ في هبتِه كالكلبِ يعودُ في قيئِه

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya. (Riwayat al-Bukhari).

3. Selepas ibu meninggal dunia, tanah tersebut menjadi harta pusaka yang diwarisi oleh puan dan adik-beradik puan sahaja. Harta pusaka hendaklah dibahagikan mengikut faraid. Setelah pembahagian faraid dilakukan, waris yang menerima bahagian masing-masing boleh memilih untuk menyerahkan atau menghadiahkan (hibah) harta tersebut kepada seseorang tertentu, seperti salah seorang waris. Maka, tanah tersebut adalah sah milik puan setelah pembahagian faraid dilakukan dan semua adik-beradik puan sebagai waris ibu bersetuju untuk memindahkan hak tanah itu kepada puan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 7:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).         

4. Ugutan yang diberikan tidak berasas dalam syariah kerana hak mereka ke atas tanah tersebut sudah terputus setelah ia diberikan sebagai hibah kepada ibu. Namun, berlembutlah dan hormat dalam perbincangan, sambil menjelaskan dengan baik bahawa tanah itu telah diberikan secara sah oleh nenek kepada ibu. Hargai hubungan keluarga dengan terus berbuat baik, berziarah dan menunjukkan keikhlasan untuk memelihara silaturrahim. Berdoalah agar Allah melembutkan hati semua pihak dan memudahkan penyelesaian.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 39

message user image