BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Saya merupakan anak ke-enam daripada 7 adik beradik. Ibu bapa kami telah bercerai sejak tahun 1998.  Kami tinggal bersama ibu yang merupakan seorang suri rumah sepenuhnya. Tetapi, sepanjang kami membesar sehingga kami berkahwin, ayah tidak pernah mengabaikan nafkah dan tanggungjawabnya kepada kami. Hubungan kami dan ayah sangat baik. Hubungan ibu dan ayah juga baik sahaja. Tetapi, sekitar tahun 2016, ayah ditimpa ujian kewangan di mana beliau memerlukan bantuan kami anak-anak untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kami tiada masalah kerana kami juga telah mempunyai pendapatan masing-masing dan cukup untuk membantu ayah. Kemudian, pada tahun 2022, apabila adik lelaki bongsu saya ingin berkahwin, ayah tidak lagi mampu untuk memberikan jumlah wang yang diminta oleh ibu kami seperti mana anak-anak yang lain. Sejak dari kejadian tersebut, hubungan ibu menjadi kurang baik dengan ayah. Masalah ini berlarutan sehingga kini. Keadaan ini kadang-kadang menyukarkan kami anak-anak untuk membuat pilihan. Misalnya dalam sesuatu acara keluarga (kenduri aqiqah cucu, hari raya, etc), ibu mengatakan dia kurang selesa jika ayah hadir bersama. Adakala, dia mengurungkan diri dalam bilik kerana tidak mahu bertemu dengan ayah. Sehingga kadang-kadang, ibu menyuruh kami untuk memilih antara dia atau ayah di mana kami tahu, jika kami memilih ayah dalam sesuatu perkara, ibu pasti akan berkecil hati. Soalan saya, Adakah kami boleh mengabaikan perasaan ayah demi menjaga hati ibu kami? Adakah kami dianggap anak derhaka jika kami terpaksa memilih salah satu dari mereka? Apa yang harus kami lakukan demi menjaga keharmonian keluarga yang kami sayang ini? Mohon pencerahan.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT dalam surah Al Isra' ayat ke 23 :

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Yang bermaksud : “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Begitu juga, Ibubapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik. Ini kerana, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi' bin Al Harith, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” (Riwayat al-Hakim)

Merungkai pertanyaan puan di atas :

1. Sebagai anak-anak sudah pasti akan merasa serba salah dalam menghadapi situasi seumpama ini. Ia seumpama menarik rambut dalam tepung, bermaksud sebarang tindakan dan keputusan yang diambil oleh anak-anak hendaklah hikmah, berhati-hati dan sedaya upaya untuk meraikan kedua-dua pihak ibu dan bapa. Perasaan kedua mereka perlu diraikan dan jangan berlaku mengabaian salah satu di antara mereka berdua.

2. Anak-anak boleh menjadi orang tengah untuk memberi kefahaman atau pandangan agar ibu atau bapa dapat bertolak ansur dalam urusan-urusan penting keluarga. Peranan orang tengah ini amat penting sebagai pendamai dan pengimbang yang adil, bagi meyakinkan ibu atau bapa dalam mempertimbang dan bersikap yang lebih neutral pada perkara-perkara penting anak-anak khususnya.

3. Boleh juga menggunakan pihak ketiga yang dihormati oleh ibu dan bapa sebagai orang yang boleh memberi pandangan dan nasihat, agar ibu atau bapa dapat meraikan pihak satu lagi dalam segala urusan yang melibatkan keluarga dan anak-anak.

4. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar Allah mengurniakan kefahaman dan kelapangan dada khususnya kepada ibu puan untuk lebih rasional dan bertolak ansur dalam urusan-urusan penting keluarga.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 38

message user image