BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Tuan/Puan,

Dengan segala hormatnya, saya ingin mengajukan beberapa pertanyaan berkaitan prosedur pernikahan segera yang melibatkan situasi berikut:

Seorang lelaki bernama Ahmad (nama samaran), berumur 23 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan, telah menjalinkan hubungan sebelum berkahwin dengan seorang wanita bernama Amina (nama samaran), berumur 24 tahun dan berasal dari Kelantan. Hasil hubungan tersebut, Amina telah melahirkan seorang bayi lelaki bernama Ali (nama samaran). Tiga (3) bulan selepas kelahiran Ali, Amina memaklumkan perkara ini kepada keluarga Ahmad.

Susulan daripada itu, keluarga Ahmad berhasrat untuk menyegerakan pernikahan antara Ahmad dan Amina. Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan dan panduan berkaitan perkara berikut:

1.Kaedah 1 (Nikah Segera): Sekiranya terdapat cara untuk mempercepatkan proses pernikahan, adakah Ahmad dan Amina boleh dikecualikan daripada menghadiri kursus pra perkahwinan dan ujian HIV? Jika ya, dengan siapakah keluarga Ahmad perlu berhubung untuk mendapatkan panduan lanjut?

2. Kaedah 2 (Nikah Mengikut Prosedur Biasa): Adakah Ahmad dan Amina diwajibkan untuk menghadiri kursus pra perkahwinan dan menjalani ujian HIV sebelum melangsungkan pernikahan?

3. Pendedahan Isu Kepada Pegawai Bertanggungjawab: Berdasarkan situasi ini, adakah jurunikah atau pegawai yang terlibat perlu dimaklumkan tentang keadaan sebenar yang berlaku antara Ahmad dan Amina sebelum proses pernikahan dilaksanakan?

4. Adakah bapa Amina dibenarkan untuk mewakilkan wali kepada pihak lain bagi memudahkan urusan pernikahan ini memandangkan ibu Ahmad masih dalam tempoh iddah selepas kematian bapa Ahmad, menyebabkan kesukaran untuk hadir ke Kelantan?

5. Adakah pernikahan Ahmad dan Amina boleh dilaksanakan di Negeri Sembilan memandangkan kekangan perjalanan ke Kelantan? Jika boleh, apakah prosedur yang perlu diikuti?


 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1, 2 dan 5 : Setiap negeri mempunyai enakmen atau undang-undang atau peraturan masing-masing dalam menguruskan hal ehwal perkahwinan bagi orang Islam. Enakmen atau peraturan ini mungkin ada sedikit sebanyak perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Oleh yang demikian puan boleh berhubung dengan Pejabat Agama Islam di Negeri Sembilan atau Kelantan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan berkuatkuasa bagi negeri tersebut.

3. Perkara ini tidak menjadi kewajipan kepada pasangan atau keluarga pasangan untuk memaklumkan kepada jurunikah atau pegawai yang berkaitan, selagimana ia tidak melibatkan rukun nikah serta peraturan yang telah ditetapkan oleh negeri berkaitan.

4. Pihak wali boleh untuk berwakalah wali atau berwakil wali kepada jurunikah di tempat pasangan itu akan bernikah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 47

message user image