Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum melakukan pembedahan rahang. Sekiranya seseorang itu boleh makan, minum dan berkomunikasi dengan normal tetapi kedudukan rahangnya senget secara melebih-lebih. Perkara ini membuatkan dirinya berasa cacat dan hilang keyakinan diri untuk bercakap di depan orang ramai. Tambahan pula ada individu yang sering menegur secara terang-terangan tentang kekurangan yang dimilikinya. Kadangkala merasakan dia tidak dapat pergi jauh dalam hidup kerana perasaan diri sendiri dan pandangan orang lain. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, melakukan pembedahan untuk membetulkan rahang yang senget agar kembali ke kedudukan asalnya dan berfungsi dengan normal adalah diharuskan. Ia tidak termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah SWT. Tambahan pula pembedahahan bukan bertujuan untuk kecantikan semata-mata.
Semoga dengan membuat pembedahan ini saudari dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin seperti dapat makan minum dengan baik, dapat membaca al-Quran dengan baik dan sebagainya. Oleh itu setiap anggota badan yang kita gunakan untuk membuat kebaikan, maka ianya menjadi sedekah dan mendapat pahala. Dari Abu Hurairah RA dia berkata: Rasulullah SAW bersabda
Maksudnya: Setiap anggota tubuh manusia dapat melakukan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaannya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)