Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkaitan dengan tanah wakaf. Saya telah membeli sebidang tanah tanpa tahu bahawa tanah itu sebahagiannya telah diwakafkan kepada pihak tertentu. Selepas itulah baru saya tahu bahawa tanah itu diwakafkan bukan disewakan. Untuk makluman akad wakaf itu hanyalah berlaku atas mulut dan tiada pengesahan rasmi wakaf.
Disini saya ada dua persoalan:
1. Adakah akad wakaf itu terbatal?
2. Adakah saya sebagai pemilik tanah baru berhak untuk mengambil semula tanah wakaf tersebut?
Saya sangat berharap agar saya mendapat respon dari pihak tuan/puan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara umumnya, wakaf secara lisan adalah sah sekiranya pewakaf (waqif) dan barang yang diwakafkan itu (mawquf) memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak. Justeru dalam hal ini, status tanah tersebut tetap dihukumkan sebagai tanah wakaf dan tidak terbatal.
Sekiranya wakaf telah dilakukan dengan niat yang jelas dan disahkan oleh saksi, maka ia sah menurut hukum Islam walaupun tanpa pendaftaran rasmi dan ia juga sekaligus menjadikan harta yang diwakafkan tersebut menjadi milik Allah SWT yang tidak boleh diambil semula. Meskipun begitu, tuan boleh menuntut pampasan berdasarkan harga bahagian tanah wakaf daripada pihak penjual sebagai gantian milik bagi pihak tuan. Tuan juga hanya boleh memanfaatkan sebahagian tanah daripada tanah tersebut. Oleh itu, dinasihatkan agar tuan merujuk kepada pihak berkuasa agama seperti Perbadanan Wakaf Negeri Selangor (jika di Selangor) atau Majlis Agama Islam Negeri untuk mendapatkan kepastian dan keputusan yang adil mengenai status tanah tersebut.
Sekian, terima kasih.