Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya wanita bujang berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan dan telah menerima hibah sebuah rumah pusaka arwah ibubapa. Saya akan menjual rumah tersebut dengan nilai RM147, 000. Hasil daripada jualan rumah tersebut saya akan gunakan membayar baki hutang kedua arwah ibubapa dan pinjaman pelajaran saya anggaran sekitar RM30k. Soalan saya, saya perlu membayar zakat harta berdasarkan nilai jualan rumah atau nilai baki selepas membayar hutang. Terima Kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Zakat merupakan asas utama dalam sistem ekonomi Islam dan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan umat. Ia adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat. Zakat al-mal al-mustafad merujuk kepada pendapatan yang diperoleh melalui usaha atau pekerjaan seseorang Muslim. Dalam perbincangan fiqh, zakat pendapatan termasuk dalam kategori al-mal al-mustafad. Justeru setiap umat Islam wajib melunaskan zakat pendapatannya. Ia dikira tanpa perlu menunggu haul apabila melepasi nisab dengan mengambilkira keperluan (hawaij al-asliyyah).
Justeru dalam situasi ini, zakat pendapatan daripada hasil jualan rumah dikira berdasarkan baki bersih setelah ditolak keperluan asas yang dibenarkan, termasuk hutang yang perlu diselesaikan segera. Dalam kes ini, jika hasil jualan rumah adalah RM147,000 dan puan menggunakan RM30,000 untuk membayar hutang, maka baki yang tinggal adalah RM117,000. Oleh itu, zakat pendapatan hanya wajib dibayar jika jumlah ini mencapai nisab (kadar minimum yang ditetapkan) dan disimpan selama haul (tempoh setahun).
Jika selepas setahun baki wang masih mencapai nisab, maka zakat 2.5% perlu dibayar atas jumlah tersebut. Namun begitu, sekiranya wang tersebut digunakan sebelum cukup haul, maka tidak wajib zakat ke atasnya. Sebagai langkah berhati-hati adalah disarankan untuk membayar zakat sebaik sahaja menerima wang jika jumlahnya melebihi nisab. Sehubungan dengan itu, dinasihatkan agar puan merujuk kepada Lembaga Zakat Selangor sebagai pihak berautoriti yang berkemampuan dalam memberikan solusi bagi permasalahan ini.
Sekian, terima kasih.