Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya mengenai lafaz taklik. Saya dan suami bergaduh semasa di pasaraya. Saya menyatakan saya mahu balik dgn menaiki grab. Suami melafazkan 'jatuh talak naik grab'. Tetapi saya tidak jadi balik naik grab pada ketika itu. Dan niat suami saya adalah jika saya balik naik grab pada hari itu jatuh talak. Soalan saya, adakah jatuh talak kepada saya jika saya naik grab pada hari lain?
Jawapan
Berdasarkan kepada kenyataan puan, lafaz suami 'jatuh talak naik grab', dan taklik itu diniatkan hanya pada masa itu sahaja. Justeru, tempoh taklik tersebut adalah terpakai semasa itu sahaja berdasarkan niat suami. Oleh kerana puan tidak terus menaiki grab pada hari itu, maka talak tidak berlaku. Dan taklik itu juga luput pada hari itu sahaja. Jika puan menaiki grab pada hari lain pula, talak tidak jatuh juga. Walau bagaimanapun, puan boleh hubungi Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.