Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya sudah berkahwin dalam 5 tahun. Saya telah bernazar sekiranya isteri saya mengandung dan beranak, saya akan masukkan RM100.00 ke dalam tabung masjid.
Bulan 9 yang lepas (tahun 2024), isteri saya ada cek dekat pregnancy test kit dan keputusannya mengandung dan kami ada scan dekat hospital. Doktor mengesahkan mengandung dan waktu tu baru saja 2 atau 3 minggu. Bulan 11 yang lepas (tahun 2024), kami nak scan lagi dan doktor cek, isteri saya mengandung tapi tiada janin (mengandung kosong). Doktor suruh buat scan semula lepas 2 minggu untuk kepastian. Kami ada pergi tempat lain untuk scan dan Doktor bagi jawapan yang sama.
Baru2 ni kami pergi sekali lagi, dan Doktor telah mengesahkan yang isteri saya mengandung tapi tiada janin (mengandung kosong). Masa scan tu, kantung ada tapi isi (janin) tiada.
Balik kepada masalah nazar saya, semasa tempoh awal cek positif mengandung, saya telah masukkan RM100.00 ke dalam tabung masjid dengan niat utk bayar nazar saya. Soalan saya, adakah nazar saya telah saya tunaikan? Saya musykil sebab hujung-hujungnya kami disahkan mengandung tiada janin.
Harap pihak tuan dapat bantu saya.
Jawapan
Berdasarkan persoalan di atas, jika hajat seseorang itu belum dicapai daripada nazarnya, maka tidak wajib bagi dia untuk menunaikan nazarnya. Sesungguhnya kewajipan menunaikan nazar itu bergantung kepada berlakunya dan tercapainya perkara yang dinazarkan tersebut.
Al-Kasani pula menyatakan di dalam Badai’ al-Sonai’: “Sekiranya nazar itu terikat dengan syarat seperti dia mengatakan, “Kalau Allah menyembuhkan penyakitku atau kalau fulan yang menghilang itu datang, maka demi Allah saya akan berpuasa sebulan atau saya solat dua rakaat atau saya bersedekah satu dirham dan seumpamanya itu, maka nazar itu terikat dengan syarat masa. Maka jikalau syarat atau hajat daripada nazar itu belum dipenuhi, maka tidak wajib untuk ditunaikan nazar tersebut menurut ijma.”
Justeru, apabila sesuatu nazar tercapai, maka wajib untuk seseorang itu melaksanakan apa yang dinazarkannya. Walaubagaimanapun, jika nazar itu tidak tercapai, maka tiada kewajipan ke atas dia untuk melaksanakan apa yang dinazarkan tersebut.
Namun begitu, jikalau seseorang menunaikan nazarnya sebelum terjadi sesuatu yang disyaratkan di dalam nazarnya, maka dibolehkan untuk dia menunaikan nazarnya itu sebagaimana diqiaskan dengan mengeluarkan kaffarah dalam bersumpah sebelum dibatalkan.
Jikalau seseorang itu memenuhi nazarnya dengan ketaatan, maka dia akan mendapat pahala daripada melakukan ketaatan yang dinazarkan tersebut. Allah SWT telah menyanjung orang-orang yang memenuhi nazarnya sebagaimana firman Allah:
يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا
Maksudnya: “Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.”
Sekian, terima kasih.