Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ayah beli sebuah rumah pd tahun 2004. Ayah menceraikan ibu pada 2016. Semasa bercerai tiada sebarang bayaran spt nafkah,mutaah dll kpd ibu kerana ayah tiada duit pd masa tersebut. Ayah berjanji mulut utk mmbyr setelah pencen pd 2022. Semasa bercerai 2016, ibu telah buat kaviat terhadap rumah tersebut. Ayah berkahwin baru 2017. Selepas pencen ayah tidak membyr apa2 kpd ibu seperti dijanjikan. Ayah ingin menjual rumah tersebut Dan mendesak ibu membuka kaviat rumah. 1 perjanjian penyelesaian ditandatangani oleh mereka yg mana ayah bersetuju mmbyr ibu 100k dr hasil jualan rumah. Semasa proses jual rumah,ibu meninggal 1/5/2023.kemudian ayah meninggal pada 31/12/2023. Duit jualan rumah ada pada peguam yg menguruskan. Pada mulanya semua waris bersetuju untuk membahagikan semua hasil jualan secara faraid setelah ditolak hutang ayah Dan 100k bhgn ibu spt yg dijanjikan di dalam perjanjian. Namun, tiba2 isteri baru ayah xbersetuju Dan hadir dengan mengatakan ayah berhutang dengannya tetapi tiada dokumentasi yg boleh menyokong kenyataan. Semua duit pencen arwah diambil sepenuhnya oleh isteri baru.pencen bulanan arwah jugak turut diserahkan kepada beliau.
1. Bolehkah anak-anak ibu(waris) menuntut harta sepencarian dulu mewakili arwah sebelum tuntutan berkaitan 100k dibuat dimhkmh sivil?
2. Adakah isteri baru berhak sepenuhnya ke atas rumah tersebut,sedangkn rumah telah dibeli lama semasa perkhwinn dgn arwah ibu.
3.adakah apa-apa cadangan yang dirasakan bersesuaian Dan terbaik untuk perkara ini?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
1. Waris kepada si ibu berhak menuntut harta sepencarian bagi pihak arwah ibu di Mahkamah Syariah kerana rumah tersebut dibeli semasa perkahwinan antara arwah ayah dan ibu. Hal ini kerana,tuntutan harta sepencarian perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian pusaka atau tuntutan lain dilakukan. Janji arwah ayah untuk membayar RM100,000 kepada arwah ibu juga dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebelum harta pusaka dibahagikan. Justeru, waris kepada si ibu perlu segera memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah untuk memastikan hak arwah ibu terlaksana sebelum proses pembahagian pusaka dilakukan.
2. Isteri kedua (balu) tidak berhak sepenuhnya ke atas rumah tersebut. Selepas tuntutan harta sepencarian selesai, bahagian rumah yang menjadi milik arwah ayah akan dibahagikan mengikut faraid di mana balu hanya berhak menerima 1/8 daripada baki harta pusaka setelah hutang dan tuntutan lain diselesaikan. Adapun berkenaan tuntutan balu terhadap hutang arwah ayah hanya boleh diterima jika disertakan bukti yang sah, namun sekiranya tiada maka tuntutan tersebut adalah tidak sah.
Oleh itu, disarankan agar pihak tuan merujuk kepada pihak mahkamah mahupun perunding harta pusaka sebagai pihak berautoriti yang boleh mengendalikan isu yang telah dibangkitkan.
Sekian, terima kasih.