Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum tuan/puan. Saya nak tanya. Sebelum ni suami pernah lafaz taklik (atas kehendak dan permintaan saya) bahawa sekiranya dia curang, maka akan jatuh talak. Saya meminta suami lafaz begitu kerana saya terlalu terluka disebabkan perbuatan dia yang tidak dapat saya nyatakan disini. Dia juga telah menyorokkan gambar profile whatsapp (yang merupakan gambar kahwin kami) dari semua rakan pejabatnya. Tapi selepas kantoi, dia mengubah semula setting privacy supaya semua rakan pejabat boleh nampak gambar profile whatsapp tersebut. Persoalannya sekarang, saya dapati semalam dia kembali menukar setting supaya rakan pejabatnya (kali ini hanya dua orang perempuan) tidak boleh melihat gambar di profile whatsappnya. Adakah dia dikira telah berlaku curang? Adakah telah jatuh talak?
Jawapan
Secara umum cerai atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami : " Sekiranya saya curang maka akan jatuh talak". Kesannya adalah bila suami melakukan kecurangan kepada isterinya, maka boleh menyebabkan jatuhnya talak.
Adapun tindakan suami puan mengubah setting privacy agar orang lain tidak boleh melihat gambar profile whatsapp itu dikira sebagai curang atau tidak, ia perlulah dirujuk kepada suami puan. Apakah tujuan atau niat dia mengubah setting tersebut. Ini kerana tindakan seumpama itu secara zahir tidak menujukkan perbuatan curang cuma mungkin ia sebagai persediaan ke arah perbuatan itu atau mungkin perbuatan itu telah berlaku.
Walau bagaimanapun, adalah disyorkan agar isu ini dirujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera supaya mendapat pengesahan yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti kerana pengesahan status talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apatah lagi sekiranya timbul pertikaian antara pasangan atau mana-mana pihak samada tindakan yang berlaku itu boleh membawa jatuhnya talak atau sebaliknya.
Sekian, terima kasih.