BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/Ustazah,

Saya ada kemusykilan dalam kehidupan perkahwinan saya. Saya berumur 33 tahun dan sudah berkahwin selama 3 tahun. Saya dan isteri tinggal berasingan dengan rumah ibu bapa tetapi jarak cuma 2-3 meter. Latarbelakang saya bekerja kerap 'outstation' dan isteri tinggal di rumah yg saya bina, keluar masuk rumah isteri selalu isteri minta izin daripada saya dan CCTV dan video call menjadi apa yang isteri saya bercakap benar dan saya sahkan kejadian itu.

Sepanjang usia perkahwinan ibu bapa selalu suruh saya menegur perihal tingkah laku dan adab isteri.

a) Ada masa isteri mengandung terlalu letih dan tidak dapat berkumpul bersama saudara bila tetamu dtg, ibu bapa marah dan menuduh isteri saya sombong dan bermuka muka. Saya sebagai ketua keluarga saya biarkan isteri saya berehat tetapi walaupun sudah jelaskan kepada ibu bapa saya mereka tetap marah dan mula bersangka buruk terhadap isteri saya.

b) Tingkah laku isteri jadi perhatian ibu bapa saya, ibu bapa saya selalu meminta saya menegur isteri yang kerap keluar rumah atas urusan saya sebagai ketua keluarga yg meminta isteri melakukan urusan sedemikian. Isteri selalu tanpa 'miss' beritahu keluar rumah dan saya izinkan. Tetapi berbeza dgn pandangan ibu bapa menganggap isteri saya biadap dan tidak hormat ibubapa sebab isteri keluar rumah tidak beritahu mereka, walaupun saya dah izinkan. Atas asbab ini ibu bapa mula mencari kesalahan sekecil kecil isteri seperti tidak salam ibubapa jika terlupa, tidak menyapu atau mengemas rumah, selalu order 'Grab', fitnah isteri beli kereta tetapi sorok di tempat lain, dsb nya. Saya pernah beritahu keluar masuk isteri kepada ibu bapa jika dia keluar tetapi maklumat tu disalah guna juga dan mencari kesalahan lain.

c) Saya ada membeli rumah lain dan menyatakan hasrat berpindah. Saya mula buat tindakan tegas untuk ibu bapa tidak campur urusan rumahtangga saya dgn tinggal berjauhan sedikit, jarak cuma 20 minit dgn rumah orang tua. Tujuan saya untuk menjaga keharmonian rumatangga saya (kerana bapa saya mula masuk campur dalam rumahtangga saya dengan whatsapp secara direct kepada isteri dan beritahu perkara yang selama ni saya sorokkan daripada isteri), saya mahu melindungi rumahtangga saya dari berlarutan dan bukan memutuskan silaturrahim. Saya sampaikan hasrat saya dengan nada dan intonasi yang baik. Juga isteri saya yg menjadi mangsa tuduhan dan ibubapa bercakap perkara buruk terhadap isteri saya. Saya sebagai ketua keluarga saya tidak beritahu apa yg disampaikan org tua kepada isteri kerana saya mahu menjaga keharmonian dalam rumahtangga. Dan saya mahu isteri saya melayani org tua saya tanpa 'judgement' tapi lama kelamaan saya rasa mcm menganiaya isteri saya. Kerana saya biarkan org tua saya bercakap belakang bercakap buruk tentang isteri saya tetapi saya biarkan isteri saya melayani org tua saya dengan baik.

Akibat situasi begini, saya merasa amat tertekan. Ibu bapa bercerita apa yg terjadi dekat keluarga saya dan isteri kepada pakcik makcik belah ibu dan ayah. Aib keluarga yang saya cuba sorok kini dah jadi pengetahuan pakcik makcik saudara mara. Ibu bapa saya anggap saya main-main dengan tekanan yang saya hadapi, jika saya menangis depan ibu bapa, ibu bapa bercakap depan adik beradik yang lain saya cuma drama dan tidak ikhlas. Ibu bapa menuduh isteri saya bermuka muka dgn bercakap bila saya balik dari oustation perangai lain, tp bila saya outstation perangai lain. Hal rumahtangga saya dan isteri sangat harmoni dan komunikasi kami sangat baik, walaupun jarak jauh. Setiap hari saya dan isteri berkomunikasi bertanya khabar aktiviti seharian jadi tiada masalah isteri keluar tanpa izin. Saya sangat tertekan dengan situasi sekarang, dan mengundang ke arah 'anxiety dan depression'.


Persoalan saya;

a) Daripada situasi saya, bolehkah ibu bapa saya campur tangan urusan keluarga dan rumahtangga saya? Dalam aspek :

i. Cara saya membentuk dan membimbing isteri

ii. Keputusan berpindah rumah

iii. Merahsiakan perkara sulit rumahtangga (kerana bagi saya ada perkara dalam selimut saya tidak boleh beritahu ibubapa, tetapi ibubapa saya berprasangka dengan saya banyak berahsia dan tidak jujur)

b) Ibu bapa saya selalu menyalahkan saya dalam setiap tindakan dan keputusan yang saya buat sehingga saya jadi terlalu tertekan. (Cth; Jika ibubapa marah saya, ibu bapa saya akan libatkan adik beradik sekali. Dan bagitahu saya adalah punca. Ibu bapa juga selalu send video berbentuk ceramah anak derhaka di group whatsapp saudara mara dan up status anak derhaka jika ada perselisihan faham walaupun saya tidak meninggi suara dan cuma menjelaskan keadaan atau situasi) Saya masih dalam progress rawatan dan jumpa pakar untuk pulihkan semangat dan motivasi saya. Ibubapa saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis. Mereka juga menyalahkan atas permasalahan saya dan isteri asbab darah tinggi mereka naik dan buatkan saya rasa serba salah. Adakah saya seorang anak yang derhaka walaupun saya cuma bersifat defensif dan masih menjaga adab dan intonasi ketika bercakap dengan ibu bapa?

Terima kasih atas maklum balas soalan yang saya ajukan. Respon dan jawapan dari pihak ustaz/ustazah saya amat hargai atas kemusykilan hidup yang saya jalani.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

a) Secara umunya tidak menjadi kesalahan bagi ibu bapa untuk cakna kebajikan anak mereka, sekalipun selepas berkahwin, sama ada anak lelaki atau perempuan. Namun harus ada ada batasan yang mesti dipatuhi agar tidak memyebabkan rumahtangga anak-anak yang asalnya bahagia dan harmoni, menjadi huru hara dan bermasalah terutama dalam perkara-perkara besar dan rahsia-rahsia sulit  rumahtangga anak-anak yang pastinya dilarang untuk diwar-warkan kepada orang lain tanpa izin kecuali pihak yang berautoriti seperti kadi atau hakim mahkamah syariah.

b) Jika sesuatu perkara itu diarahkan oleh ibu bapa yang berpunca daripada perasaan marah yang tidak wajar, cemburu atau kelemahan akal mereka (ibu bapa), lalu dia menyuruh atau menegah anaknya, dengan suatu perintah yang tidak dianggap menyelisihinya pada uruf sebagai suatu bentuk penderhakaan, maka anak itu tidak dihukumkan derhaka kerana perbuatan menyelisihi arahan itu adalah berlandaskan sebab-sebab yang munasabah pada syarak dan adab.

Dalam situasi seumpama ini, tuan dan isteri hendaklah sentiasa kekal istiqamah mempertahankan kebahagian rumahtangga yang terbina ini, kerana kalau tuan dan isteri goyah dan terkesan dengan tekanan ini, dikhuatiri boleh mengakibatkan masalah dalaman antara pasangan pula akan berlaku. Banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT, selalulah berbincang bersama isteri agar tuan dan isteri terus kuat dalam menghadapi ujian ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 59

message user image