Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, jika ada perselisihan pendapat antara suami dan isteri dimana isteri tidak bersetuju dengan tindakan atau sesuatu yang dilakukan suami , si isteri mengatakan "jika kau beli / buat sedemikian kita cerai" dan si suami tetap dengan keputusannya meneruskan perkara tersebut tapi dia berbohong dia tidak melakukan perkara yg tidak dipersetujui si isteri tersebut. Bilamana si isteri mendapati si suami menipu Adakah perkara tersebut jatuh sebagai salah satu antara ketegori talak@ cerai ?
Dan sekiranya si suami ada melakukan kekerasan terhadap isteri apabila si isteri provok dengan berbagai soalan kerana mengesyaki si suami menipu, adakah si isteri boleh menfailkan penceraian ? Bagaimana cara untuk isteri mendapatkan penceraian di mahkamah jika si suami berkeras tidak mahu menceraikan isteri secara baik ? Adakah boleh rujuk kembali ataupun memerlukan akad nikah yg baharu ?
sekian soalan saya , terima kasih .
Jawapan
Merujuk kepada ucapan puan kepada suami puan yang berbunyi : "jika kau beli / buat sedemikian kita cerai". Ia bukanlah lafaz talak taklik. Sebaliknya ia hanyalah suatu perkhabaran atau kenyataan daripada isteri sekiranya suami beli atau buat apa yang dinyatakan oleh isteri, maka mereka boleh bercerai. Ini bermakna, sekiranya suami memang melakukan perkara tersebut dan kemudian mahu menceraikan isterinya, maka suami perlu melafazkan cerai kepada isteri.
Walaubagaimana pun, untuk mendapat kepastian dan maklumat lanjut berkaitan dengan bagaimana cara untuk isteri memohon perceraian atau sebagainya, maka puan boleh adukan perkara tersebut kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana puan tinggal.
Sekian, terima kasih.