Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya.
1. Saya pernah baca hadis yang mengatakan bahawa tidak akan masuk ke syurga orang yang makan harta haram. Adakah konteks ini membawa maksud selama-lamanya orang itu tidak akan masuk ke syurga sekiranya dia mati tidak bertaubat dan menggantikan harta haram yang diambilnya?
2. Sebelumnya saya pernah baca hukum mengenai bekerja menggunakan sijil pelajaran yang diperoleh hasil meniru. Pihak tuan kata boleh namun pelaku harus bertaubat dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja. Tapi pada masa sama, ada pihak yang kata kepada saya, bahawa mereka sangat tak menggalakkan saya untuk bekerja bukan kerana sijil saya diperoleh dengan cara begitu saja, namun juga dengan sebab perempuan tidak wajib mencari nafkah, bahkan sekiranya belum berkahwin maka ayahnya lah yang seharusnya menanggungnya. Adakah ini benar?
3. Saya rasa saya baru dapat kesedaran mengenai banyak kesilapan saya sekarang. Dan saya sangat-sangat menyesal. Dulu waktu diploma, saya banyak meniru waktu kuiz, ujian dan peperiksaan. Saya tau haram tapi saya buat juga. Hanya sikit saja subjek yang saya jujur tak meniru langsung. Saya dah sambung ijazah dan dah tamatkan pengajian namun masih belum bekerja. Saya takut kalau nanti gaji saya tak halal, tapi pada masa sama saya perlu juga kerja untuk bayar hutang pinjaman pelajaran saya. Adakah boleh saya kerja? Dan apakah hukum sebelum ni saya buat pinjaman pelajaran, yang sebenarnya saya tak patutnya layak dapat pun sekiranya saya betul-betul tak meniru dan menipu waktu diploma? Adakah selama saya belajar sebelum ni saya guna duit haram? Sebenarnya saya sedikit risau, saya faham sekiranya pihak lelaki dibenarkan untuk menggunakan sijil pelajaran walaupun mereka meniru, kerana mereka akan menanggung perbelanjaan banyak terutama yang sudah berkahwin. Lalu bagaimana pula dengan saya yang perempuan ini? Adakah boleh juga untuk saya guna sijil sedemikian untuk menyara hidup saya sendirian kerana saya masih belum berkahwin dan tidak mahu susahkan ibu bapa saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Konteks hadis yang dimaksudkan adalah ingin menunjukkan bahawa orang yang makan daripada sumber harta yang haram termasuk dalam salah satu dosa besar dan bukan bermakna akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Adapun begitu, pelaku tersebut wajib berusaha menyelesaikannya selama mana masih hidup di dunia dengan cara melakukan taubat nasuha, memohon maaf kepada pihak yang dizalimi serta mengembalikan harta tersebut jika masih ada agar mendapat keampunan dan syurga daripada Allah SWT. Ini kerana, akibat daripada urusan yang tidak dapat diselesaikan di dunia semasa masih hidup akan menjadi lebih sukar di hari perhitungan kelak.
2. Secara hakikat, ilmu dapat diperoleh dengan pelbagai cara walaupun tanpa pengiktirafan sijil. Namun, sijil yang diperoleh merupakan tanda dan bukti bagi seseorang untuk mendapatkan keyakinan pihak atau syarikat yang dimohon untuk bekerja.
Seorang anak perempuan selama mana dirinya belum berkahwin, tanggungjawab memberi nafkah terletak pada ayah kandungnya. Adapun umat Islam dituntut untuk berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal dan baik apabila sudah meningkat dewasa baik lelaki mahupun perempuan. Mendapat hasil daripada pekerjaan bukan sahaja memberikan manfaat kepada diri sendiri malahan juga kepada ibu bapa dan sebagai salah satu cara membalas jasa mereka.
3. Allah SWT tidak menghukum perbuatan dosa dan kesilapan lalu seseorang setelah dirinya menyesal dan bertaubat untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. Perkara yang dah lepas biarkanlah berlalu dan bersangka baiklah dengan Allah SWT. Adapun pinjaman tersebut merupakan rezeki yang sudah Allah SWT tentukan. InsyaAllah kelak direzekikan untuk bekerja, tekunilah apa sahaja pekerjaan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan dengan niat untuk melangsaikan hutang yang ada.
Sekian, terima kasih.