Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum jabatan mufti Selangor, saya memerlukan jawapan daripada pihak tuan/puan kerana saya memiliki perasaan was-was terhadap najis mughallazah. Beberapa minggu lepas, saya ada pergi ke kebun dan mendapati salah satu tanaman yang diusahakan telah dirosakkan oleh babi (di tanah ada kesan sodokan) dan meninggalkan kesan gigitan pada batang pokok. Namun saya memegang kesan gigitan tersebut untuk mencabut pokok tersebut dan dibuang. Tetapi saya lupa memeriksa bekas gigitan tersebut sama ada terdapat kesan air liur babi atau tidak dan terlap di seluar. Selepas itu saya hanya bilas tangan dengan air dan baju itu saya basuh sekali dengan pakaian keluarga yang lain ke dalam mesin basuh. Selang beberapa minggu, baru saya teringat akan kejadian itu dan terus sertu tangan kerana saya tak beberapa yakin yang kesan gigitan itu basah disebabkan air yang ade dalam batang pokok itu ataupun air liur babi kerana tidak diperiksa.
Jadi persoalan saya apakah yang perlu dibuat jika betul itu basah disebabkan oleh air liur babi kerana sebelum teringat kejadian itu, saya telah memegang terlalu banyak barang yang ada di rumah dan pakaian yang dipakai ketika itu dibasuh sekali dengan pakaian yang lain dalam jumlah yang amat banyak. Mohon pencerahan pihak tuan/puan kerana saya takut disebabkan kelalaian saya, ibadah yang dilakukan ahli keluarga termasuk saya tidak sah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, pihak tuan telah mendapati binatang babi telah merosakkan tanaman di kebun yang diusahakan. Akan tetapi tidak terdapat kesan najis di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, tidaklah dihukumkan kawasan tersebut bernajis. Ini kerana, pada asalnya tiada najis, maka tidak dihukum najis sehinggalah dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Adapun bekas gigitan pada batang pokok dengan memusnahkan tanaman, maka ia termasuk dalam perkara umum yang sukar dielakkan.
Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Sekian, terima kasih.