Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya soal hukum tidak maafkan salah orang. Adakah berdosa jika tidak ampunkan salah silap orang lain?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Islam amat menggalakkan untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa. Dalam Islam, memaafkan orang lain adalah sesuatu perbuatan yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Allah SWT memuji seseorang itu serta memberikan ganjaran pahala bagi manusia yang memaafkan kesalahan orang lain sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam Surah as-Syura, ayat 40 :
Maksudnya : "Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim."
Namun, ianya bukanlah boleh dijadikan satu permit kepada seseorang itu melakukan kesilapan dan kesalahan kepada orang lain secara sesuka hati dan berharap agar orang tersebut akan memberikan kemaafan dengan mudah.
Oleh yang demikian, dinasihatkan agar umat manusia dapat mengamalkan sifat yang mulia ini dengan menjadi seorang yang pemaaf sebagaimana kita juga mahu Allah SWT memaafkan dan mengampuni dosa-dosa kita.
Sekian, terima kasih.