Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan 1
Adakah kelemumur yang sangat banyak menghalang air ketika mandi wajib, adakah Mandi wajib itu sah?
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan rukun atau fardu mandi junub ada tiga iaitu:-
1) Niat mengangkat hadas besar atau mengangkat janabah.
2) Membersihkan najis dan kotoran yang melekat pada badan dan menghalang air daripada sampai ke kulit.
3) Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang ada di badan.
Namun begitu, jika kelemumur tersebut sangat jelas seperti berkeping yang dapat menghalang air daripada kena kulit kepala, maka wajib bagi seseorang itu untuk membuangnya terlebih dahulu sebelum mandi wajib atau menggosok-gosok kulit kepala untuk menghilangkan kelemumur sehingga yakin air meratai seluruh bahagian kepala semasa mandi. Kulit yang berkeping-keping, berkuping-kuping atau kulit yang kering yang tidak terpisah dengan tubuh badan atau jika ditanggalkan akan mengakibatkan sakit atau luka bukanlah bahan asing yang termasuk dalam kategori bahan yang menghalang air. Ia dimaafkan serta tidak menjejaskan mandi wajib. Bahan yang dikategorikan sebagai menghalang air adalah seperti cat, minyak atau apa-apa bahan yang boleh melekat pada kulit serta bahan tersebut tidak meresap air. Sebagai peringatan, apabila hendak mandi wajib, dapatlah dipastikan agar air dapat diratakan ke seluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang ada di badan.
Sekian, terima kasih.