Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t
Saya Mohd Hafizul ingin bertanyakan soalan mengenai anak angkat. Baru-baru ini saya membuat permohonan pengangkatan di JPN. Anak angkat ini tidak diketahui nasab bapa kandungnya kerana tidak sah taraf. Dalam peroses permohonan tersebut saya memohon untuk binkan anak angkat saya ini kepada bin Abdul Hafiz iaitu antara 99 dari nama-nama Allah. Namun pihak JPN maklumkan tidak boleh berbinkan kepada nama yang hampir sama. Apakah ada kenyataan dari Mufti mengenai hal ini? Mohon pencerahan dari tuan/puan.
Jawapan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Begitu juga boleh dengan 99 nama Allah atau Asma' Al Husna contohnya Abdul Rahim, Abdul Rahman dan sebagainya.
Dan tidak harus meletakkan bin atau binti anak tersebut dengan nama yang sama dengan nama bapa angkat atau biologi seperti Rahman atau Hafiz atau sebagainya menjadi Abdul Rahman atau Abdul Hafiz, kerana ia akan menyebabkan kekeliruan samada dalam perkara aurat, perwalian, atau pusaka.
Sekian, terima kasih.