Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang ibadah haji. Saya memahami ianya salah satu rukun islam dan hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang wajib menjalaninya. Soalan saya adalah tentang menjalankan ibadah haji buat si mati. Ayah saya telah meninggal dunia pada 14 Zulhijjah dan beliau tidak pernah menunaikan haji sebelum permergiannya. Arwah Ayah saya tidak berkerja dalam 6 tahun sudah dan tidak mempunyai pendapatan yang stabil. Kami seisi keluarga mendapat pendapatan dari ibu kami akan tetapi, ibu dan arwah ayah saya telah bersetuju tentang berkongsi rezeki walau apa cara sahaja. Ayah saya mempunyai tabung KWSP dan kami telah mengagihkan mengikut hukum faraid tetapi, kami baharu sahaja membaca bahawa jikalau si mati belum pernah menunaikan ibadah haji dan perpendapatan untuk menunaikannya, waris perlu menunaikan haji buat si mati menggunakan hartanya kerana ianya wajib keatasnya. Akan tetapi, tabung KWSP dia juga, arwah menggunakannya untuk menampung sara hidup keluarganya. Ianya sunat jikalau beliau tidak ada kemampuan. Tetapi, sejak dua menjak sebelum pemergiannya, beliau kurang sihat atas darah tinggi dan serangan jantung bahawa, kesihatannya kekurangan.
Jadi soalan-soalan saya adalah, adakah ianya wajib atas arwah untuk menunaikan ibadah haji semasa beliau masih hidup? Apakah syarat yang terletak atas maksud kemampuan, semasa hidupnya keseluruhan atau masa paling awal arwah sebelum kepergianya? Jikalau wajib, siapakah waris yang wajib menjalankan ibadah haji buat arwah? Jikalau sunat, bolehkah sesiapa sahaja menjalankan haji buat arwah?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Syarat wajib bagi seseorang itu melaksanakan ibadah haji ada enam seperti di dalam kitab al-fiqh al-Manhaji iaitu:
a.Islam,
b. Berakal
c. Baligh
c. Merdeka,
d. Aman perjalanan; dan
e. Berkemampuan.
Dalam mengklasifikasikan berkemampuan ini antaranya ialah kemampuan dari sudut harta dan kelulusan visa daripada pihak berkuasa. Justeru, bagi mereka yang berkemampuan dari sudut harta maka wajib baginya melaksanakan haji. Berdasarkan situasi yang tuan alami, jika arwah ayah ada meninggalkan harta yang mencukupi untuk dirinya menunaikan haji dan beliau pernah mendaftar dan mendapat panggilan haji, maka pihak waris wajib melakukan badal haji baginya kerana ia merupakan hak Allah SWT yang wajib ditunaikan.
Sebaliknya, jika harta peninggalan tersebut sedikit dan tidak mencukupi maka tidak diwajibkan melakukan badal haji baginya kerana syarat berkemampuan itu tidak ada. Selain itu, jika arwah ayah tidak pernah mendapat panggilan haji sepanjang hidupnya, juga tidak diwajibkan melakukan badal haji kerana dia tidak mencukupi syarat wajib haji. Akan tetapi jika arwah ayah tuan ada meninggalkan wasiat, maka diwajibkan waris untuk melakukan haji baginya atas dasar wasiat sebelum difaraidkan. Sebagai contoh, harta KWSP yang ditinggalkan perlu diasingkan jumlah bagi melaksanakan haji untuk arwah terlebih dahulu sebelum difaraidkan. Namun, sekiranya harta arwah tidak mencukupi akan tetapi anaknya ingin melakukan badal haji untuknya maka hukumnya sunat atas dasar ihsan dan boleh kepada sesiapa sahaja dari kalangan anak arwah untuk melakukan badal haji tersebut.
Sekian, terima kasih.