Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya menuntut di sebuah universiti di Selangor tetapi menetap di Sabah, sekarang berada di Sabah kerana sedang cuti semester. Saya bercadang untuk tinggal sebentar bersama keluarga di KL selama 4 hari 3 malam sebelum kembali ke universiti. Soalannya, bolehkah saya jamakkan solat fardhu sepanjang berada di KL kerana kami bermusafir dari Sabah? Atau tidak dibenarkan kerana saya sudah dikira bermukim di Selangor dan jaraknya dari KL adalah kurang dari 2 marhalah?
Jawapan
Berdasarkan situasi yang anda jelaskan, beberapa perkara perlu diperjelaskan mengenai hukum solat jamak semasa permusafiran
Status Musafir: Anda dikira sebagai seorang yang bermusafir apabila anda berada jauh dari tempat tinggal tetap (Sabah) dan bermusafir ke tempat yang jaraknya memenuhi syarat musafir. Anda juga dianggap musafir jika anda menetap di suatu tempat (selain tempat mastautin) dalam tempoh kurang daripada 4 hari tidak termasuk hari pergi dan balik.
Jarak Musafir: Dalam konteks jarak sepertimana yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor adalah 82 kilometer. Namun, jika jarak antara Kuala Lumpur dan tempat tinggal anda di Selangor adalah kurang daripada 2 marhalah, maka anda tidak dikira sebagai musafir di sisi syarak dan tidak boleh menjamakkan solat.
Solat Jamak : Tempat mastautin anda adalah di Selangor sebagaimana yang dijelaskan, maka terputus musafir jika anda masuk ke kawasan mukim tempat tinggal di Selangor. Namun, jika anda berada di Kuala Lumpur dan tidak singgah di Selangor yang merupakan tempat mastautin anda, maka anda masih berstatus musafir walaupun jarak antara Selangor dan Kuala Lumpur kurang daripada 2 marhalah. Namun begitu, perlu dilihat keseluruhan jumlah hari tempat tinggal di Kuala Lumpur. Sekiranya tempoh menetap di Kuala Lumpur mencecah 4 hari 4 malam , maka tidak boleh mengambil rukhsah jamak qasar kerana anda akan berstatus mukim.
Sekian, terima kasih.