Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
YBhg Dato Setia/ Dato/ Tuan/ Puan,
MOHON PANDANGAN BERHUBUNG HUKUM KHATAN ANAK PEREMPUAN
Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.
2. Dimaklumkan bahawa saya ingin bertanya bagi pihak saudara perempuan saya yang mempunyai kemusykilan berhubung hukum mengkhatankan anak perempuan. Untuk makluman YBhg Dato Setia/ Dato/ Tuan/ Puan, saudara perempuan saya tinggal di sebuah negeri di utara Malaysia. Beliau mempunyai anak perempuan yang kini telah berusia 6 tahun dan masih tidak dikhatankan sehingga kini atas sebab-sebab tertentu yang antara lain anak tersebut lahir semasa Malaysia sedang dalam tempoh pendemik Covid menyebabkan tertangguh urusan khatan sehingga ini.
3. Sehubungan itu, dimohon pandangan YBhg Dato Setia/ Dato/ Tuan/ Puan, berhubung situasi ini:
3.1 Hukum mengkhatankan bayi/ anak perempuan;
3.2 Adakah Islam membenarkan tidak mengkhatankan anak perempuan; dan
3.3 Apakah tindakan terbaik keluarga ini yang patut diambil sama ada meneruskan berkhatan dalam usia sekarang atau sebaliknya.
Kerjasama dan perhatian YBhg Dato Setia/ Dato/ Tuan/ Puan dalam hal ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian.
Jawapan
Bersunat atau khatan merupakan sunnah yang dituntut di dalam Islam. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
Maksudnya: Fitrah ada lima perkara: berkhatan, cukur bulu ari-ari, cabut bulu ketiak, potong kuku dan memendekkan misai.
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa khatan merupakan tuntutan bagi lelaki dan wanita. Menurut mazhab Shafi’i, wajib berkhatan apabila kanak-kanak mencapai umur baligh dan perlu dilaksanakan dengan segera. Namun, disunatkan kepada wali/penjaga untuk melaksanakannya ketika kanak-kanak masih kecil kerana itu lebih mengasihinya. Selain itu, menurut Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 pada tahun 2009 telah membincangkan tentang hal khatan wanita ini dan mesyuarat memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Namun, sekiranya perihal tersebut boleh membawa kemudaratan pada diri, maka ia perlulah dielakkan.
Oleh itu, keluarga bolehlah membawa anak tersebut berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat untuk berkhatan.