Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualakum, soalan saya berkenaan anjing yang memasuki ke dalam rumah. Pada waktu itu saya di dalam bilik dan pintu rumah terbuka, anjing tu berjalan masuk sampai ke bilik. Saya halau anjing tu dan owner masuk rumah dan ambik anjing tu. Saya lihat dan yakin anjing tu dalam keadaan kering dan tiada bulu yang tertinggal. Sekarang apa patut saya buat? Perlukah saya sertu lantai rumah keseluruhan? Jika perlu, bolehkah saya gunakan safi punya produk untuk sertu dengan cara mop lantai 1 kali air tanah 6 kali air bersih? Terima kasih
Jawapan
Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci.
Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya tiada sebarang kesan najis anjing di dalam rumah atau bilik, maka kawasan tersebut adalah kekal suci dan tidak bernajis. Justeru itu, ianya tidak perlu disertu kerana tiada najis yang menyebabkan perlu disertu. Namun dibolehkan untuk membasuh dengan sabun dan air mutlak biasa sahaja.
Sekian, terima kasih.