Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah berkahwin bersama sepupu yang rapat. Contoh ayah saya dan ayah sepupu adalah adik beradik
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, perkahwinan dengan sepupu adalah harus dan tiada halangan dari segi syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 50:
Maksudnya : Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu;
Walaupun tiada halangan namun, digalakkan untuk berkahwin dalam kalangan zuriat dan keturunan yang berlainan bagi mengembangkan lagi zuriat dan keturunan di samping mengambil kira nasihat perubatan moden tentang risiko penyakit genetik yang meningkat dalam kalangan mereka yang berkahwin dengan keluarga terdekat .
Sekian, terima kasih.