BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ,

Saya ingin bertanya mengenai hukum membeli makanan daripada seorang penjual yang aibnya telah dibuka kepada orang ramai, termasuk tindakan beliau membuka aib bekas isterinya, serta terlibat dalam perbuatan curang.

Adakah dibolehkan untuk membeli makanan daripada peniaga seperti ini dalam Islam, memandangkan tindakannya yang tidak berakhlak dan menganiaya orang lain?atau adakah ia lebih baik dielakkan? Saya ingin mendapatkan pencerahan daripada sudut syarak.

Mohon penjelasan mengenai perkara ini, dan apakah panduan yang boleh diberikan dalam memilih peniaga yang baik dari segi akhlak dalam Islam.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, diharuskan untuk membeli makanan atau barangan dari peniaga berikut, ini kerana dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu :

1. Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),

2. lafaz akad (lafaz ijab dan kabul)

3. Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan harga)

Sekiranya sempurna 3 rukun utama, maka sahlah pembelian tersebut. Walaubagaimanapun sebaiknya seorang muslim digalakkan untuk memilih jalan warak iaitu memilih penjual yang menjaga hukum hakam yang diperintahkan oleh Allah SWT. 

Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak. (Riwayat Ahmad)

Kesimpulannya, sekiranya makanan yang disediakan adalah makanan yang halal maka ia kekal halal dan perbuatan serta sifat seseorang tidak akan menyebabkan makanan tersebut menjadi haram. Adapun dari sudut tasawwuf maka setiap umat Islam sememangnya digalakkan untuk memastikan makanan yang dimakan adalah disediakan oleh orang soleh bagi menjamin keberkatan makanan yang dimakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image