BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam,

Pendapatan saya cukup2 untuk menyara keluarga 4 orang anak kecil dan membayar hutang-hutang bank. Saya juga perlu membayar hutang kepada beberapa individu yg perlu diselesaikan dalam tahun semasa. Adakah saya masih diwajibkan membayar zakat pendapatan? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Zakat merupakan asas utama dalam sistem ekonomi Islam dan memainkan peranan penting dalam kesejahteraan umat. Ia adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat kemampuan. Zakat al-mal al-mustafad merujuk kepada pendapatan yang diperoleh melalui usaha atau pekerjaan seseorang Muslim. Dalam perbincangan fiqh, zakat pendapatan termasuk dalam kategori al-mal al-mustafad. Justeru setiap umat Islam wajib melunaskan zakat pendapatannya. Ia dikira tanpa perlu menunggu haul apabila melepasi nisab dengan mengambilkira keperluan hawaij al-asliyyah.

Justeru, bagi keadaan seseorang yang hanya memiliki pendapatan sekadar mencukupi untuk menampung keperluan asas keluarga dan membayar hutang-hutang wajib, maka dia tidak diwajibkan membayar zakat pendapatan sekiranya jumlah baki pendapatan selepas perbelanjaan tidak mencapai nisab zakat.

Zakat hanya diwajibkan apabila seseorang mempunyai lebihan harta setelah menampung keperluan asas dan hutang yang perlu diselesaikan dalam tempoh segera (tahun semasa). Seandainya pendapatan seseorang selepas ditolak semua keperluan asas dan bayaran hutang masih mencapai atau melebihi nisab (bersamaan 85 gram emas), maka dia tetap perlu membayar zakat pendapatan sebanyak 2.5%.

Namun, jika pendapatannya tidak mencukupi kadar nisab, maka dia tidak wajib mengeluarkan zakat pendapatan. Oleh itu, dinasihatkan agar tuan merujuk kepada Lembaga Zakat Negeri Selangor untuk mendapatkan kepastian berdasarkan status keadaan kewangan sebenar tuan sama ada ia telah mencukupi nisab atau sebaliknya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 32

message user image