Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah seseorang yg duduk jauh,menjadi ahli kariah.contoh masjid saya,ada seorang duduk di puncak alam atau Shah alam atau Seremban mengisi borang dan menjadi ahli kariah.mereka menggunakan alamat rumah ibu bapa mereka yg tinggal disini dan alasan anak org sini,dari kecil disini?
Jawapan
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor mentakrifkan anak kariah sebagai seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid. Manakala berdasarkan Garis Panduan Pendaftaran Ahli Kariah Masjid dan Surau Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh Mesyuarat MAIS Bil. 4/2019 bertarikh 28 Mei 2019, menetapkan syarat-syarat ahli kariah adalah seperti berikut :
a) Warganegara Malaysia;
b) Berumur 18 tahun dan ke atas bagi lelaki dan perempuan;
c) Berpegang dan beramal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah;
d) Tinggal tetap bermukim atau bermastautin di dalam kariah masjid atau surau sekurang-kurangnya empat (4) bulan.
Oleh yang demikian, bagi menjawab pertanyaan puan, dengan berpandukan garis panduan di atas, dapat difahami bahawa sekiranya seseorang itu tidak tinggal tetap samada bermukim atau bermastautin di sesuatu tempat kurang dari empat bulan maka dia tidak dikira sebagai ahli kariah tempat tersebut.
Sekian, terima kasih.