Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Kami bercadang untuk mengumpul RM5 setiap bulan daripada setiap ahli pasukan bermula Januari. Wang ini akan dijadikan hadiah kepada seorang ahli pasukan yang mencapai peratusan komisen affiliate tertinggi pada akhir setiap bulan.
Namun, setiap ahli hanya boleh memenangi hadiah ini sekali sahaja dalam setahun. Jika seseorang telah memenanginya pada mana-mana bulan dalam tahun ini, dia hanya layak bertanding semula pada tahun hadapan.
Soalan kami:
1. Adakah perbuatan ini termasuk dalam kategori judi, kerana hadiah tersebut datang daripada wang ahli pasukan sendiri?
2. Jika semua ahli bersetuju secara sukarela, adakah ia dibenarkan dari sudut hukum syarak?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…
Maysir sering ditakrifkan oleh para ulama’ silam sebagai قمار) qimar). Dari segi bahasa, qimar pula memberi erti pertaruhan dan menang. Dr Ramadan Hafiz Abdul Rahman menaqalkan penerangan oleh pengarang kitab al-Qamus tentang qimar iaitu:
"قامره مقامرة وقمارا فقمره وتقمره : راهنه فغلبه وهو التقامر"
Maksudnya: “…Dia bertaruh lalu dia menang, dan ia adalah saling bertaruh”.
Berdasarkan situasi tuan, ia dianggap sebagai judi kerana judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian. Situasi yang ditanya adalah simpanan secara berkumpulan dan hasilnya akan diberikan hadiah kepada kakitangan yang layak. Kaedah yang digunakan ini lebih menjurus kepada skim galakan untuk lebih berdaya saing.
2. Konsep perjudian tidak dibenarkan pada syarak selagipun mendapat redha daripada ahli yang terlibat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih