Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato'
Mohon pencerahan.
Darah secara umum hukumnya najis.
Semasa saya bercukur dlm kereta, tampa disedari ada sedikit terluka. Bila sy tengok ada luka sedikit, sy ambil tisu utk keringkan.
Saya tak pasti sblm itu saya ada tersentuh darah itu atau tidak. Saya terus memandu kereta.
Persoalannya Dato'
Adakah najis darah tersebut berpindah kpd steering kereta atau bahagian kereta yang lain.
Bagaimanakah langkah yg perlu sy lakukan utk mensucikannya.
Terima kasih Dato' atas pencerahan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Darah yang keluar daripada manusia adalah dikira sebagai najis. Kenajisan darah ini juga jelas disepakati oleh empat mazhab serta perlu dihilangkan. Namun begitu, seandainya darah itu sedikit pada adat seperti tompokan kecil sama ada pada badan atau pakaian, maka ia dimaafkan dan solat yang dilakukan adalah sah.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan, jika tidak pasti sama tuan telah menyentuh darah atau tidak, dalam Islam, kita tidak dituntut untuk melayan atau mengikuti perasaan was-was. Selagi tidak ada bukti yang jelas sebagai contoh melihat darah pada tangan atau benda lain, maka tiada najis pada diri atau steering kereta atau bahagian kereta yang lain tersebut. Tetapi jika ada kesan darah yang nyata, basuh kawasan tersebut dengan dialirkan air ke atas tempat yang terkena darah tersebut sehingga hilang sifat najis (bau, warna, dan rasa).
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.