Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.
Berkenaan zakat simpanan, boleh ke bagi kepada adik lelaki yg masih bawah tanggungan ibu bapa?
Seorang umur 24 tahun (sedang belajar) &
seorang lagi umur 20 tahun (tidak bkerja hanya tolong ibu bapa meniaga).
Terima kasih.
Jawapan
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan.
Pemberian zakat wajib diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Taubah ayat 60 :
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, seseorang muslim tidak boleh memberikan zakat kepada mereka yang di bawah tanggungannya. Ini bermakna, anak atau isteri tidak boleh mendapatkan harta zakat daripada bapa atau suaminya. Namun begitu, pembayar zakat harus untuk memberikan zakatnya kepada saudara mara yang bukan di bawah tanggungannya, seperti adik-beradik lelaki atau perempuan, bapa dan ibu saudara pihak bapa, bapa dan ibu saudara pihak ibu, anak-anak mereka dan lain-lain sekiranya mereka fakir, miskin dan golongan yang berhak menerima zakat.
Walau bagaimanapun, suka kami tegaskan bahawa zakat hendaklah dibayar kepada amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Sila hubungi Pusat Zakat yang berhampiran untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang bahagian yang boleh dituntut untuk pengagihan sendiri.
Sekian, terima kasih.