Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada satu pertanyaan. Suami saya dapat tawaran bekerja dengan satu syarikat sebagai pemandu lori. Tapi barang yang dibawa adalah non halal, iaitu makanan seperti noodle/maggi dibungkus dalam kotak tetapi non halal. Adakah salah kalau suami terima tawaran tersebut ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, mencari rezeki yang halal adalah suatu tuntutan bagi setiap umat Islam. Antara rezeki yang halal adalah jauhnya dari syubhah ataupun perkara yang haram di sisi syarak. Justeru, barang non halal dikategorikan sebagai haram. Maka, haram hukumnya melakukan kerja untuk perkara-perkara yang haram seperti membawa makanan yang haram. Hasil pendapatan juga dikira haram. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Maka sebaiknya adalah dengan menghindari bekerja dengan syarikat yang menyediakan perkhidmatan seperti itu. Namun, sekiranya ia hanya satu-satunya kerja yang diperolehi dan tiada pekerjaan lain yang lebih baik, maka dibolehkan untuknya menerima pekerjaan tersebut jika dalam keadaaan terdesak dan memerlukan dan sentiasa berusaha mencari pekerjaan yang lain.
Sekian, Terima Kasih