Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Slm ustaz blh ke sy oajak ladang sawit dengan cara sy byr ke tuan ldg 20 ribu,pastu hasil sawit sy ambik selama 5 thn.dah habis tempoh 5 thn tu,sy pulangkan blk ldg tu.sawit ade 10ekar
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perkara ini termasuk di dalam ijarah iaitu jual beli manfaat bagi barang, namun barang masih dalam milik pemberi sewa.
Hukumnya harus, dengan persetujuan dan perjanjian pemilik dan penyewa (yang mengambil manfaat), serta lafaz ijab kabul yang jelas bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan di masa hadapan. Contohnya,
Pemilik tanah:
"Saya pajakkan tanah ini seluas 10 ekar kepada kamu selama 5 tahun dengan bayaran RM20,000 untuk keseluruhan tempoh tersebut. Dalam tempoh tersebut, kamu berhak sepenuhnya mengambil hasil sawit yang ada di atas tanah ini."
Penyewa:
"Saya terima pajakan tanah seluas 10 ekar ini selama 5 tahun dengan bayaran RM20,000 untuk keseluruhan tempoh tersebut, dan saya bertanggungjawab penuh atas hasil sawit dalam tempoh tersebut."
Sekiranya bayaran RM20,000 itu adalah bayaran bagi tiap-tiap tahun, bukannya keseluruhan tahun, maka perlu dijelaskan di dalam akad dan perjanjian.
Contohnya, Saya pajakkan tanah ini seluas 10 ekar kepada kamu selama 5 tahun, dengan bayaran sebanyak RM20,000 setiap tahun.
Sekian, terima kasih.