Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Semasa ingin mandi wajib, saya teringat bahawa saya memakai minyak zaitun sebanyak 5-10 titik pada rambut saya. Semasa rambut dalam keadaan kering, perasaan berminyak hanya ada pada rambut namun ketika mandi saya dapat merasakan sedikit minyak pada hujung-hujung jari saya. Jumlahnya sedikit dan tidak menyebabkan tangan saya berlumuran dengannya.
Adakah jumlah minyak tersebut menghalang air ke rambut-rambut saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, antara rukun mandi wajib ialah memastikan air sampai ke seluruh anggota badan yang zahir, termasuk kulit dan rambut, tanpa sebarang penghalang.
Minyak zaitun secara semula jadi bersifat menyerap ke dalam rambut dan tidak membentuk lapisan tebal atau kalis air seperti lilin atau cat. Sekiranya semasa mandi saudara mendapati terdapat sedikit kesan minyak di hujung jari, ini menunjukkan minyak tersebut telah bercampur dengan air dan tidak menghalang air daripada menyentuh anggota badan yang wajib dibasuh.
Oleh itu, mandi wajib tetap sah, kerana minyak zaitun dalam jumlah yang sedikit ini bukanlah suatu penghalang mutlak yang menghalang air daripada sampai ke anggota badan.
Sekian, terima kasih.