BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,saya ingin bertanya adakah membela ular seperti corn snake dan ball phyton yang tidak mempunyai ukuran yang besar dan tidak mempunyai bisa adalah haram di dalam islam?

Jika ya,apakah yang saya perlu lakukan dengan kedua ular itu.adakah saya perlu membunuh atau mejualnya? Jika dijual apakah duit itu halal digunakan? Jika dilepaskan ke habitatnya saya tidak berfikir mereka akan bertahan kerana mereka telah dijaga oleh penternak sejak menetas dari telur.

Tujuan saya membelanya adalah kerana ular yang tidak merbahaya seperti corn snake dan ball phyton adalah minat saya sejak kecil.selain itu,mereka juga dapat menjadi hobby dan therapy untuk diri saya.kos perbelanjaan untuk mereka pula sekitar rm60 sebulan kos ini tidaklah sama sekali membebankan saya atau membuat saya melupakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Saya harap tuan/puan dapat menjawab soalan yang telah saya ajukan ini.Sekian terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berhubung soalan yang diajukan, terdapat sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya: Lima binatang fawasiq (yang merosakkan) yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hadis di atas, Jumhur Fuqaha’ termasuk mazhab Syafi’i berpandangan bahawa menjual ular secara umumnya adalah haram. Ini membawa maksud bahawa memelihara ular untuk apa jua tujuan seperti menjadikannya sebagai binatang peliharaan atau pet adalah diharamkan.

Walau bagaimanapun, terdapat satu pandangan di dalam mazhab Hanafi yang mengharuskan penjualan ular sekiranya ia boleh dimanfaatkan seperti untuk tujuan perubatan atau kulitnya (Rujuk Raddu al-Muhtar ‘Ala al-Dduri al-Mukhtar).

Begitu juga terdapat satu pandangan di dalam mazhab Maliki yang mengatakan bahawa ular halal dimakan sekiranya dapat dipastikan tidak berbisa atau tidak membahayakan kesihatan dengan syarat ia hendaklah disembelih. (Rujuk Lawami’ al-Durar fi hatki Astari al-Mukhtasar).

Dr. Ahmad Mamduh, Setiausaha Darul al-Ifta’ Mesir pula berpendapat bahawa memelihara ular di rumah adalah tidak diharamkan dengan syarat-syarat tertentu. (https://www.elbalad.news/4923324.)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpandangan bahawa memelihara ular tidak berbisa yang dikenali sebagai Snake Corn adalah makruh berdasarkan keumuman hadis yang menyuruh untuk membunuh ular tanpa membezakan antara yang berbisa dengan yang tidak berbisa. Di samping itu, suruhan membunuh binatang-binatang tersebut turut dikaitkan dengan sifatnya yang merosakkan yang mungkin tidak ketara pada Snake corn. Walaupun begitu manfaat daripada ular tersebut adalah tidak jelas. Bahkan kos pembelian serta pemeliharaannya yang mahal. Tambahan pula terdapat alternatif atau gantian binatang pemeliharaan lain yang jelas keharusannya. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya perbuatan tersebut ditinggalkan.

Tindakan menjual semula ulat-ular tersebut kepada kedai haiwan adalah diharuskan dan hasil daripada jualan itu adalah halal.

Sekiranya pihak tuan ingin melepaskan ular-ular tersebut, sebaiknya menghadiahkannya kepada pihak zoo atau taman pemeliharaan haiwan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 44

message user image