Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Jabatan Mufti Selangor,
Pertanyaan saya mengenai isu pembelian kad pokemon (POKEMON TRADING CARD GAME).
Jika saya membeli kad pokemon ini dengan niat untuk bermain dan akan tetapi saya telah mebuka satu pack kad dan telah mendapat satu kad yang agak unik dan harga kad tersebut boleh dijual dengan harga yang tinggi. Apakah hukumnya jika, saya ingin menjual kad unik tersebut dengan harga yang tinggi kepada pembeli yang lain walaupun saya membeli harga asal kad pack itu dengan harga yang rendah. Untuk makluman pihak Jabatan Mufti, kandungan di dalam satu Kad Pack ditentukan dengan sistem rawak di mana pembeli tidak tahu 10 kad apa yang akan dimiliki didalam satu pack. Jika pack kad saya mempunyai kad yang unik, ia boleh digunakan untuk saya bermain atau di jual dengan harga tinggi. Oleh demikian saya ingin mengutarakan dua soalan. Soalannya ialah:
1. Apakah hukum saya menggunakan kad pokemon unik itu untuk tujuan mengumpul (collection ) dan bermain?
2, Apakah hukumnya jika saya ingin menjual kad pokemon unik itu untuk dijadikan jualan semula (resell) dengan harga yang tinggi walaupun saya dengan niat asal saya hanya untuk mengumpul dan bermain ketika membuka kad pack tersebut?
Minta penjelasan tuan/puan dari Jabatan Mufti Selangor,
Saya juga ingin buat perkongsian daripada jawapan soalan saya ini kepada rakan handai saya kerana kami ada perbalahan akan tentang apa hukum persoalan yang saya ada diatas.
Terima Kasih!
Semoga tuan dan puan dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat!
Jawapan
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara asasnya, memiliki dan menggunakan kad Pokémon untuk tujuan koleksi atau bermain adalah harus selagi mana:
Manakala hukum menjual kad yang diperoleh dengan harga tinggi adalah diharuskan asalkan tiada unsur penipuan dan kezaliman, ini kerana seseorang boleh menjual barang miliknya dengan harga pasaran yang ditentukan oleh penawaran dan permintaan,
Dalam situasi yang disebutkan dibolehkan menjual kad tersebut dengan harga tinggi kerana:
Kad tersebut adalah milik sah pembeli setelah dibuka.
Tiada unsur paksaan ke atas pembeli lain untuk membeli dengan harga yang mahal.
Harga ditentukan oleh pasaran dan bukan dengan cara yang zalim.
Dalil umum mengenai keharusan jual beli sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-baqarah ayat 275:
Maksudnya:Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.
Namun, perlu dielakkan elemen penipuan seperti:
Overpricing yang melampau tanpa sebab yang munasabah hingga menipu pembeli.
Menjual dengan maklumat palsu (contoh: mendakwa kad itu edisi terhad walhal bukan).
Isu utama yang perlu diberi perhatian dalam membeli kad pokemon adalah pembelian kad pokemon baharu yang memiliki elemen gharar atau ketidakpastian dalam jual beli, ini kerana salah satu daripada syarat sah jual beli adalah barang yang dibeli hendaklah jelas dan tidak mengandungi unsur gharar atau ketidakpastian iaitu sama ada kad yang diingini akan diperolehi atau tidak kerana pembeli kad pokemon tidak mengetahui kad apa yang bakal diperolehi dari pembelian itu atau mungkin terdapat risiko mengalami kerugian yang besar, yang boleh membawa kepada unsur perjudian. Gharar itu disebut sebagai gharar fahish (gharar yang besar) yang boleh membawa kepada tidak sah jual beli tersebut.
Oleh itu, jual beli kad Pokémon dalam bentuk pek rawak perlu diteliti kerana adanya unsur gharar yang tinggi (gharar fahish). Jika ketidakpastian ini membawa kepada kerugian yang ketara atau menyerupai perjudian, maka ia boleh menyebabkan jual beli tersebut tidak sah menurut prinsip muamalat Islam.
Sekian, terima kasih.